Thailand Jalankan Ujian Saringan COVID-19 Guna Peluh Ketiak

Menurut saintis Thailand, para penjual di pasar Bangkok yang mengalami peluh ketiak ketika musim hujan lembap berkemungkinan mempunyai tanda-tanda jangkitan COVID-19 secara halus.

thailand jalankan ujian saringan covid-19 guna peluh ketiak

Sehubungan dengan itu, pasukan penyelidik Thailand kini sedang ligat mengembangkan alat pengesan virus mudah alih dengan menggunakan peluh, dan mengujinya di serata kedai yang menjual makanan di pasar Bangkok.

“Dari sampel, kami mendapati bahawa orang yang dijangkiti COVID-19 mengeluarkan bahan kimia yang sangat berbeza,” kata Chadin Kulsing dari Universiti Chulalongkorn Bangkok.

“Kami menggunakan penemuan ini untuk mengembangkan alat untuk mengesan bau tertentu yang dihasilkan bakteria tertentu oleh keringat pesakit COVID-19,” lanjutnya.

Chadin yang mengatakan bahawa ujian itu tepat sebanyak 95%, berharap ia dapat dilancarkan sebagai alternatif yang berpatutan untuk ujian swab yang lebih mahal yang memerlukan pemproses makmal.

Ia bagaimanapun masih berada dalam tahap pengembangan, dan penelitian di baliknya masih belum diterbitkan atau ditinjau oleh rakan sebaya.

Pasukan penyelidik terlibat mengadaptasi alat yang kebiasaannya digunakan untuk mengesan bahan kimia beracun di persekitaran.

Subjek meletakkan pelapik kapas di bawah lengan mereka selama 15 minit, sebelum penyapu dimasukkan ke dalam botol kaca dan disterilkan dengan sinar UV.

“Juruteknik kemudian mengambil sejumlah sampel yang sesuai dengan menggunakan hos penyedut, dan menekannya ke dalam penganalisis untuk memeriksa hasilnya,” kata Chadin.

Pengumpulan sampel itu memakan masa selama 15 minit yang mana hasilnya siap hanya dalam tempoh 30 saat.

Rata-ratanya, inisiatif tersebut menerima sambutan baik daripada golongan para penjual di pasar Bangkok, yang mengatakan bahawa ia jauh lebih menyenangkan berbanding ujian calitan hidung.

“Ujian peluh ini lebih mudah kerana saya dapat bekerja sambil menunggu hasilnya,” kata seorang penjual tembikai berusia 43 tahun kepada AFP.

“Dengan ujian PCR, saya harus berada di pusat ujian, duduk dan menunggu hasilnya dan ini hanya membuang masa saya.”

Terdahulu, Thailand yang kini sedang memerangi gelombang COVID-19 ketiga dan paling teruk yang pernah dialami, melaporkan 16,000 kes baru pada 9 September lalu, menjadikan jumlah angka positif yang pernah dicatatkan sejak permulaan wabak di negara itu melepasi 1.34 juta kes.

Sumber: [1]