Thailand Dijangka Hadapi Puncak Gelombang COVID-19 Menjelang Pertengahan April

Pakar mengatakan bahawa situasi COVID-19 di Thailand bakal memuncak pada pertengahan April.

thailand dijangka hadapi puncak gelombang covid-19 menjelang pertengahan april

Menurut Pengarah Biro Komunikasi Risiko dan Pembangunan Tingkah Laku Kesihatan Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Sumanee Watcharasin, angka kes COVID-19 di negara itu dijangka terus meningkat apabila varian Omicron semakin merebak.

“Kes harian COVID-19 dijangka memuncak pada pertengahan April dan beransur turun pada Mei,” katanya.

Tambah beliau, jangkitan harian boleh mencecah 100,000 pada pertengahan April bergantung pada langkah berjaga-jaga COVID-19 yang diterima pakai serta pematuhan orang ramai terhadap pelbagai langkah pencegahan virus.

Khamis lalu, Thailand mencatatkan 23,618 kes baru menerusi ujian RT-PCR dan 49 kematian.

Bagaimanapun, dalam tempoh sama, sejumlah 42,138 individu disahkan positif COVID-19 menerusi kit ujian antigen namun angka tersebut tidak dimasukkan ke dalam pengiraan harian.


Sumber: [1]