Siri drama Squid Game terus menerus menjadi sebutan ramai di serata media sosial selain mencetuskan fenomena hebat di internet.
Antara momen yang paling cukup diingati peminat termasuklah adegan memilukan antara pelakon Jung Ho Yeon dan Lee Yoo Mi yang memainkan watak Sae Byeok dan Ji Young masing-masing dalam episod enam siri drama itu.
Dalam video di sebalik tabir yang dikongsikan di YouTube baru-baru ini, kelihatan Jung Ho Yeon dan Lee Yoo Mi benar-benar menangis ketika mereka melakonkan adegan yang mana Ji Young mengorbankan dirinya bagi membolehkan rakan baiknya, Sae Byeok terus maju dalam permainan tersebut.
Sementara pengarah melaung perkataan ‘cut!’, kedua-dua pelakon yang juga merupakan kawan baik sesama sendiri dalam kehidupan nyata dilihat berjalan pergi untuk menenangkan diri masing-masing.
Para jurusolek kemudian dilihatkan berusaha sedaya mungkin untuk mengelap air mata pada wajah Jung Ho Yeon.
Dalam adegan lain pula, watak Sae Byeok memarahi Ji Young ingin mengaku kalah dengan sengaja.
Sebaik sahaja pasukan produksi berteriak ‘cut!’, Jung Ho Yeon kelihatan hampir rebah dan meletakkan dahinya pada bahu Lee Yoo Mi, yang mana kedua-dua mereka kelihatan kekal menangis.
Menariknya, dalam Squid Game, kedua-dua watak Sae Byeok dan Ji Young merupakan pesaing antara satu sama lain, yang mana mereka kemudian menjadi rapat namun berakhir akibat kejadian tragis.
Bagaimanapun, berbeza pula dalam kehiduapan nyata yang mana mereka berkongsi persahabatan yang cukup akrab sekali sekaligus membuatkan ramai penonton berasa begitu seronok sekali melihat interaksi mereka.
Sumber: [1]