Pada kebiasaannya, Tapir Malaya dikatakan mempunyai berat sebanyak 250 kilogram.
Namun lain pula yang terjadi pada 17 Mac lalu apabila pasukan dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Sembilan berjaya menangkap seekor Tapir Malaya betina seberat kira-kira 450 kilogram.
Tapir betina itu dikatakan telah memasuki perangkap yang dipasang di Ladang Johol, Johol, Kuala Pilah.
Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun, perangkap itu telah pun dipasang sejak 24 November 2020 berikutan aduan diterima daripada para petani yang melihat haiwan tersebut berkeliaran di sekitar kawasan berdekatan.
Selain itu, tapir tersebut juga dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan bakal diperiksa oleh doktor haiwan jabatan terbabit sebelum dibebaskan di kawasan perlindungan Hidupan Liar di Negeri Sembilan.
Sedikit perkongsian mengenai Tapir Malaya, ia merupakan tapir terbesar yang masih wujud dan ialah satu-satunya spesies tapir yang berasal dari Dunia Lama serta terkenal menerusi warna simboliknya, hitam dan putih.
Ia pertama kali digambarkan oleh saintis Barat pada 1819 dan adakalanya digelar dengan nama saintifik, Acrocodia indica.
Tapir Tanah Melayu dikatakan mempunyai ukuran sepanjang 1.8 hingga 2.5 meter dengan ketinggian antara 90 hingga 110 cm manakala beratnya pula boleh mencecah antara 250 hingga 320 kg.
Namun, ada juga tapir dewasa yang mana beratnya mencecah 540 kg.
Sumber: [1]