Seorang pemuda yang meniaga bakso di Indonesia menjadi tular selepas fotonya tersebar di media sosial gara-gara dikatakan mirip dengan selebriti Korea Selatan, iaitu Lee Min Ho.
Foto penjual bakso itu asalnya dimuat naik ke akaun @/kulinerbandung di Instagram sebelum ia disebarkan melalui pelbagai kumpulan WhatsApp.
Memetik laporan Kompas, pemuda itu dikenal pasti sebagai Muhammad Daffa Abilla yang berusia 19 tahun dan merupakan seorang pelajar Kejuruteraan Kimim dari Universiti Umum Achmad Yani di Jawa Barat.
Ketika ditemu ramah media tempatan, akui pemuda itu, dia mula berniaga bakso sekitar Jun 2020 kerana saudaranya mempunyai kedai mi bakso di Bandung.
Sejak dari itu, dia jadi berminat dalam perniagaan lantas menawarkan diri untuk membantu.
“Saya menjual sambil belajar membuat bakso,” kongsi Daffa.
Daffa yang dilahirkan pada 26 April 2002 menjelaskan bahawa dahulunya, mereka pernah menjual hanya tiga mangkuk sehari.
Tetapi, lama-kelamaan, kedai bakso itu menjadi semakin sesak sehingga mencecah 30 hingga 50 mangkuk sekarang.
Kebanyakan pelanggan mereka rata-ratanya terdiri daripada golongan remaja dan ibu, dan pastinya, ada antara mereka yang gemar meminta bergambar dengan Daffa.
“Sebenarnya, sebelum menjual bebola daging, saya sering diminta untuk mengambil gambar dengan golongan ibu-ibu. Mereka mengatakan saya kelihatan seperti Lee Min Ho. Walaupun pada pendapat saya, kami tidak serupa,” katanya.
Bagaimanapun, Daffa sendiri tidak pasti sekiranya hasil jualan kedai bakso mereka yang kian merancak itu ada kaitan dengan wajahnya yang dikatakan mirip selebriti Korea.
Namun, yang pasti, sejak dia menjadi tular di media sosial dan berita, semakin ramai orang yang kerap mengunjungi kedai bakso mereka itu sekali gus meningkatkan lagi jualan.
Tambahnya lagi, dia turut bekerja di kedai bakso itu sambil mengikuti kuliah.
Hasil daripada kerja keras dan titik peluhnya itu, Daffa pernah berjaya menghadiahkan emas kepada ibu tersayang.
Sumber: [1]