Takut Dimarah Ibu Akibat Dicuri Selipar, Budak 11 Tahun Tipu Kena Culik Ninja!

Gara-gara kehilangan seliparnya ketika bermain kejar-kejar, seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menipu ibunya dengan mengatakan dia ‘diculik’ seorang Ninja.

takut dimarah ibu akibat dicuri selipar, budak 11 tahun tipu kena culik ninja!

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di kawasan perumahan dekat Permas Jaya pada hujung minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihak polis menerima satu laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit pada hari sama yang mendakwa salah seorang daripada anak kembarnya telah hilang.

Berdasarkan siasatan awal, pasangan adik-beradik kembar yang berusia 11 tahun itu pergi ke kedai runcit berhampiran rumah mereka untuk membeli barang sekitar jam 3 petang.

“Salah seorang anak pengadu telah masuk ke dalam kedai, manakala seorang lelaki tunggu di luar kedai runcit tersebut.

“Apabila selesai membeli barang, anak pengadu mendapati kembarnya yang menunggu di luar kedai telah tiada dan bertindak pulang ke rumah memberitahu kepada ibunya berkaitan kehilangan kembarnya.

“Susulan kejadian itu, ibu kanak-kanak terbabit telah bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan perumahan, namun tidak menjumpai dan membuat laporan polis.

“Selepas dua jam dilaporkan hilang iaitu kira-kira jam 5 petang, anak pengadu memaklumkan bahawa kembarnya telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan baik dan selamat,” jelasnya.

Siasatan lanjut kemudian mendapati kanak-kanak itu dijumpai dengan jarak lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian.

Kanak-kanak tersebut semasa dijumpai semula, bagaimanapun, menceritakan kepada ibu bapanya bahawa dia telah dibawa lari oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan memakai topeng Ninja dan dibawa ke sebuah rumah tetapi berjaya melawan seterusnya melarikan diri.

“Namun hasil soal siasat oleh Ketua Polis Balai Permas Jaya bersama pegawai penyiasat kes, kanak-kanak tersebut memberitahu kejadian sebenar bahawa dia bermain kejar-kejaran dengan seorang budak lelaki sehingga kehilangan selipar.

“Bimbang dimarahi oleh ibu bapanya, kanak-kanak tersebut mendakwa dirinya telah dibawa lari.

“Kes tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut.

“Seterusnya polis menafikan kejadian culik yang dilaporkan,” tambahnya.

 

Sumber: [1]