Seorang ahli biologi marin di Queensland menemui spesies sotong kurita pelangi yang jarang ditemui ketika dia sedang melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Lady Elliot, Great Barrier Reef.
Penemuan terbabit disifatkan paling ‘rare’ dan dipercayai bahawa spesies sama hanya pernah ditemui sebanyak tiga kali sebelum ini.
Jacinta Shackleton yang merupakan ahli biologi marin telah menjalankan penyelidikan di sekitar pulau itu selama hampir empat tahun.
“Ketika itu (pada 6 Januari) saya sedang melakukan aktiviti snorkeling, pada awalnya untuk mengkaji dan mencari ikan pari dan penyu.
“Sebaliknya kami menjumpai penemuan yang luar biasa. Pada awalnya kami menyangkakan ia adalah sejenis ikan dengan sirip yang sangat panjang.
“Namun selepas kami mendekati spesies tersebut, ternyata ia merupakan seekor sotong yang berwarna-warni dan menyedari ia merupakan spesies sotong kurita selimut atau ‘blanket octopus’,” katanya.
Menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram peribadinya, Jacinda juga berkongsi beberapa keping foto itu dan menyifatkan penemuan tersebut sebagai satu keindahan alam.
Sebagai rekod, spesies itu pernah ditemui kira-kira 21 tahun lalu di Ribbon Reefs, berdekatan Cairns.
‘Blanket octopus’ betina mampu membesar sehingga dua meter, salah satu saiz jantina terbesar dalam dunia marin sementara jantan pula, hanya membesar sehingga kira-kira 2.4 sentimeter.
Menurut Yayasan Great Barrier Reef, ia adalah spesis nomad yang berpindah ke lokasi berbeza setiap beberapa hari dan berupaya menyesuaikan diri dengan pelbagai suhu air serta merupakan haiwan jenis karnivor yang mana dietnya terdiri daripada ikan yang lebih kecil.
Sumber: [1]