Song Joong Ki Jadi Model Muzik Video Terbaru Heize

Pelakon popular Korea Selatan, Song Joong Ki dilaporkan akan tampil dalam video muzik penyanyi Heize.

song joong ki jadi model muzik video terbaru heize

Menurut laporan media tempatan Newsen yang dikeluarkan pada 6 Mei, pelakon tersebut dilihat berada di lokasi penggambaran video muzik Heize pada 5 Mei lalu.

Jurucakap P Nation sejak itu mengesahkan laporan tersebut.

Pengasas P Nation, Psy kemudian berkongsi gambarnya bersama Song dan Heize menerusi entri terbaru di Instgaram miliknya, dipercayai diambil di set rakaman video terbabit.

Menerusi kapsyennya, penyanyi yang pernah mencipta fenomena di serata dunia menerusi lagu “Gangnam Style” itu turut menyatakan rasa terima kasih terhadap Song dan menjelaskan mengapa dia memilih Song untuk membintangi video muzik tersebut.

Tulisnya, “Saya mahu membantu dengan video muzik Heize. Setelah mendengar lagu judulnya berulang-ulang kali, saya memikirkan seorang pelakon yang sesuai dengan peranan tersebut.”

Tambah Psy lagi, “Walaupun saya mengenalnya secara peribadi, kami tidak cukup mengenali satu sama lain untuk saya meminta pertolongan ini kepadanya. Walaupun begitu, dia setuju dengan ramah, dengan mengatakan bahawa dia peminat muzik Heize.”

Terdahulu, Heize yang menempa populariti menerusi rancangan realiti Unpretty Rapstar menandatangani kontrak bersama label barunya, P Nation, sebuah label milik Psy, pada September 2020.

 

Sumber: [1]