Singapura Rekod Dua Kes Import Varian Omicron

Dua penumpang dari Afrika Selatan yang tiba di Singapura pada 1 Disember lalu didapati positif dalam ujian awal bagi varian Omicron COVID-19.

singapura rekod dua kes import varian omicron

“Kedua-dua kes telah diasingkan sejurus mereka tiba di Singapura pada 1 Disember, dan belum sempat berinteraksi di dalam komuniti.

“Setakat ini tiada bukti sebarang jangkitan komuniti dari dua kes berkenaan,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura.

Kes tersebut kini dalam proses di wad yang diasingkan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

Kedua-dua individu terbabit dilaporkan telah lengkap vaksinasi dan hanya mengalami gejala seperti batuk dan sakit tekak.

Mereka tiba dari Johannesburg dengan menaiki pesawat SQ479 pada Rabu.

Kes 271487 merupakan seorang lelaki penduduk tetap Singapura dan tiba di republik itu dari Mozambique dan transit di Johannesburg.

Sementara itu, kes 271598 pula melibatkan seorang wanita warganegara Singapura yang tiba dari Afrika Selatan.

Kedua-dua mereka didapati negatif COVID-19 ketika menjalani ujian pra-pelepasan sebelum itu.

"Keputusan ujian RT-PCR mereka mendapati kewujudan S-gene Target Failure yang mungkin berkait dengan varian Omicron.

"Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan sedang menjalankan penjujukan genom untuk mengesahkan varian virus itu," lapor Kementerian Kesihatan.

 

Sumber: [1]