Pasangan kepada Allahyarhamah Siti Sarah, iaitu Shuib Sepahtu bersyukur kerana akhirnya dapat mengucup anak bongsu, Ayash Affan.
Baginya, kehadiran Ayash merupakan hadiah yang paling bermakna sempena hari lahir ke-37 dirinya.
Biarpun sambutan ulang tahun kelahiran kali ini cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, Shuib bagaimanapun tetap memanjatkan rasa bersyukur kerana dapat menyentuh dan mengucup cahaya mata bongsunya itu.
“Alhamdulillah...di hari kelahiran, Allah hadiahkan berita gembira. Dah boleh ke hospital tengok Ayash Affan.
“Ia akan jadi hari pertama melihat dan menyentuh Ayash Affan,” coret Shuib menerusi Insta Story miliknya.
Pada ketika ini, Ayash masih ditempatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia di ibu negara selepas dilahirkan tidak cukup bulan pada 6 Ogos lalu.
Dalam hantaran berbeza, Shuib, 36, dia mengimbas kembali kata-kata yang berulang kali diucap Allahyarhamah Siti Sarah ketika mengandungkan Ayash.
“Masih ingat lagi ibu (Siti Sarah) selalu cakap benda yang sama berulang kali ‘baby keempat ini you jaga dia tau, you jaga okay.
“InsyaAllah sayang. I akan jaga di macam mana I jaga you sampailah dia jadi anak yang soleh, anak yang akan menjadi kebanggaan you dunia dan akhirat,” luahnya.
9 Ogos lalu, Siti Sarah Raissuddin, 36, menghembuskan nafas terakhirnya di HCTM akibat jangkitan COVID-19.
Sebelum itu, Allahyarhamah sempat menjalani pembedahan tanpa sedar bagi melahirkan Ayash ketika kandungannya berusia lapan bulan.
Selain Ayash, Allahyarhamah turut meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Martin, 6.
Sumber: [1]