Seorang gadis di twitter dengan twithandle @billiesya telah berkongsi satu kisah seram mengenai rakannya yang membeli baju terpakai di sebuah kedai bundle.
Dalam bebenang di twitter dia menceritakan kejadian tersebut berlaku apabila rakannya membeli sehelai hoodie di sebuah kedai bundle di Raub.
Ketika membeli hoodie tersebut, rakannya terperasan akan tanda merah seakan darah. Bagaimanapun, rakannya itu berfikiran positif dan menyatakan kotoran tersebut akan hilang selepas membasuhnya.
Dia mengambil keputusan untuk membeli hoodie itu dan terus membasuh. Ternyata apa yang difikirkan itu benar apabila tompokan merah itu hilang setelah dibasuh.
Namun, pada suatu malam, dia bermimpi akan kehadiran seseorang dan meminta barangnya dipulangkan. Apabila tersedar, jam ketika itu menunjukkan pukul tiga pagi. Dia terus menghubungi rakannya untuk menceritakan perkara tersebut.
Selepas seminggu diganggu, mereka mengambil keputusan untuk bertemu dengan seorang ustaz. Ustaz tersebut bertanyakan sama ada mereka ada pergi tempat tak elok waktu maghrib atau ada tersentuh barang orang mahupun bawa balik barang tidak sepatutnya.
Tetapi, mereka langsung tidak terfikir akan hoodie yang dibeli. Bagaimanapun, selepas teringat akan perkara tersebut mereka terus berjumpa dengan ustaz tersebut. Selepas itu, ustaz dan dua gadis ini mengambil keputusan untuk ke kedai bundle itu.
Setibanya di sana mereka bertemu dengan pemilik kedai tersebut untuk bertanyakan tentang hoodie itu. Pada awalnya, pemilik kedai berkenaan berdolak dalik untuk memberitahu. Namun, akhirnya lelaki itu menceritakan perkara sebenar tentang hoodie itu.
Menurutnya, hoodie tersebut milik seseorang yang telah meninggal dunia akibat terlibat dalam satu kemalangan motosikal. Lelaki tersebut menceritakan segala-galanya kepada mereka bertiga.
Ustaz tersebut telah berpesan agar dipulangkan semula baju itu sekiranya dia tahu siapakah pemilik hoodie yang dibeli oleh gadis berkenaan.
Seramnya! Sebab tu lah kalau nak beli sesuatu barang terpakai, perhatikan dahulu dan basuh sebaik mungkin. Jika rasa tak sedap badan seeloknya jangan pakai.
Sumber: twitter @billiesya