Selebriti terkemuka Hollywood, Selena Gomez menjelaskan bahawa dia tidak mengambil peduli tentang komen orang ramai mengenai berat badannya.
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok Stories, pelakon dan penyanyi berusia 29 tahun itu berkata, “Jadi saya cuba untuk kekal kurus, tetapi saya pergi ke Jack in the Box dan saya membeli empat taco, tiga telur gulung, gegelang bawang dan sandwich ayam pedas.
“Tetapi secara jujurnya, saya tidak kisah tentang berat badan kerana orang ramai tetap akan berkata-kata tentangnya. ‘Anda terlalu kecil’, ‘anda terlalu besar’, ‘itu tidak sesuai’,” katanya.
“Saya sempurna dengan cara tersendiri,” tambahnya.
Pada 2013, Gomez disahkan menghidap penyakit lupus.
Bintang 13 Reasons Why itu menjalani pemindahan buah pinggang pada 2017 dan menerima organ terbabit daripada rakannya Francia Raisa.
Tahun lalu, Gomez mendedahkan bahawa berat badannya turun naik kerana ubat yang perlu diambilnya untuk penyakit lupus.
“Saya mengalami ‘body shaming’ kerana turun naik berat badan untuk kali pertama.
“Saya menghidap lupus dan menangani masalah buah pinggang serta tekanan darah tinggi, jadi saya menangani banyak masalah kesihatan, dan bagi saya, ketika itulah saya mula menyedari lebih banyak perkara mengenai imej badan,” jelas Gomez.
“Sejujurnya, ia bergantung pada bulan, jadi bagi saya, saya benar-benar perasan apabila orang mula menyerang saya untuk itu,” tambahnya, yang turut mengaku bahawa situasi tersebut benar-benar membuatkan dirinya berasa kacau.
Gomez juga sangat terbuka tentang perjuangannya dengan kesihatan mental, yang mana penyanyi dan pelakon itu baru-baru berkongsi kepada Good Morning America bahawa merehatkan diri dari internet adalah keputusan terbaik yang pernah dilakukan olehnya.
Bagaimanapun, entri terbarunya di media sosial memperlihatkan bahawa dia kembali dan bertekad untuk menggunakan media sosial sebagai kekuatan untuk kebaikan.
Sumber: [1]