Saintis telah mengenal pasti varian baru COVID-19 iaitu ‘Deltacron’, gabungan Delta dan Omicron.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kombinasi baru COVID-19 itu telah dikesan di Perancis, Denmark dan Belanda.
Ia juga ditemui di Amerika Syarikat, menurut laporan baru yang akan diterbitkan tidak lama lagi di laman penyelidikan MedRxiv.
Makmal Helix yang berpusat di San Mateo, California bekerjasama dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit untuk menjejaki COVID-19, menyusun 29,719 sampel positif COVID-19 yang dikumpul dari 22 November hingga 13 Februari dari seluruh Amerika Syarikat, menurut pasukan penyelidik, yang termasuk Pusat Perubatan Universiti Washington dan syarikat ujian Thermo Fisher Scientific.
Para penyelidik menemui dua jangkitan melibatkan versi Deltacron yang berbeza, hasil daripada gabungan bahan genetik Delta dan Omicron.
20 jangkitan lain mempunyai kedua-dua varian Delta dan Omicron, dengan satu kes mempunyai Delta, Omicron dan Deltacron.
Bagaimanapun, mereka mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk orang ramai bimbang mengenai Deltacron.
Ia berikutan, berbanding varian terdahulu seperti Delta dan Omicron, varian baru ini dikatakan tidak mungkin merebak dengan mudah, kata William Lee, ketua pegawai sains di Helix.
“Hakikatnya ia tidak begitu banyak, malah dua kes yang kami lihat adalah berbeza, menunjukkan bahawa ia mungkin tidak akan meningkat kepada tahap varian membimbangkan,” jelas Lee.
Setakat ini, tempat di mana Deltacron telah dikesan, ia melibatkan tahap pengesanan yang sangat rendah, menurut Dr. Maria Van Kerkhove, ahli epidemiologi penyakit berjangkit Amerika dan ketua teknikal COVID-19 WHO.
Pada ketika ini, WHO tidak melihat “sebarang perubahan dalam epidemiologi,” kata Van Kerkhove.
Mengulas lanjut mengenai Deltacron, tambahnya, “Kami tidak melihat sebarang perubahan dalam keterukan. Namun terdapat banyak kajian yang sedang dijalankan.
“Ia hanya dilihat sebagai varian sekiranya ia menghasilkan sejumlah besar kes. Jika tidak, jika ia tidak menyebabkan banyak kes, orang ramai tidak perlu risau.”
Sumber: [1]