Roller coaster terpantas di dunia, iaitu Do-Dodonpa yang terletak di Fujiyoshida, Jepun terpaksa dihentikan operasi buat sementara waktu setelah empat pelawat dilaporkan mengalami masalah patah tulang selepas menaikinya.
Memetik laporan Vice News, permainan yang menjadi salah satu tarikan di taman hiburan Fuji-Q itu turut bertanggungjawab terhadap dua pelawat lain yang mengalami keretakan tulang.
Digelar sebagai roller coaster yang terpantas di dunia dengan lingkaran diameter sepanjang 130 kaki, perjalanannya mencapai kelajuan 112 batu sejam yang juga bersamaan dengan kira-kira 180 kilometer per jam.
Roller coaster terbabit dibina pada 2001 namun menurut Vice lagi, ia diubah suai bagi tujuan meningkatkan kelajuan ke tahap maksima iaitu dari 106 batu sejam (170 kilometer per jam) ke 112 batu sejam (180 kilometer per jam) pada 2017.
Terdahulu, taman tema itu menjelaskan bahawa ia akan menangguhkan pembukaan roller coaster tersebut susulan insiden kecederaan yang dilaporkan daripada beberapa pelawat.
Bagaimanapun, sekiranya kesemua kecederaan tersebut adalah berpunca daripada permainan itu, masih belum dapat disahihkan lagi.
Mengikut rekod yang diperiksa taman tema itu dari Mei hingga Jun tahun ini, tiada sebarang kes luar biasa yang ditemui, melainkan hanya satu yang melibatak seorang lelaki berusia 30-an yang dilaporkan patah tulang setelah menaiki permainan terbabit.
Selain itu, terdapat juga spekulasi yang mengatakan kemungkinan kecederaan dialami pelawat-pelawat lain berpunca daripada kedudukan mereka yang tidak betul sewaktu menunggang permainan itu.
Seorang wanita berusia 30-an yang cedera selepas menunggang roller coaster itu pada Disember lalu memberitahu media bahawa dia mungkin telah condong ke depan semasa perjalanan terbabit sedangkan penunggang sepatutnya bersandar di tempat duduk mereka.
Sumber: [1]