Pelakon Korea yang menempa populariti antarabangsa menerusi filem Train to Busan, iaitu Ma Dong Seok menzahirkan perasaan terharunya dapat membintangi siri filem terbaru Marvel, Eternals, bersama barisan pelakon hebat Hollywood – Angelina Jolie dan Salma Hayek.
“Saya hanya bertemu dengan pelakon lain sekali atau dua kali sebelum kami memulakan penggambaran, tetapi kami tidak lama kemudian menjadi seperti keluarga. Seperti rakan baik atau ahli keluarga, kami sentiasa bertimbang rasa antara satu sama lain sepanjang penggambaran,” kata Ma Dong Seok yang berkongsi pengalaman menjalani penggambaran untuk Eternals.
Ma Dong Seok turut menggambarkan personaliti salah seorang pelakon filem tersebut iaitu Angelina Jolie.
“Dia seorang yang luar biasa dan seorang pelakon yang luar biasa. Dia juga seorang yang sangat baik. Dia sangat mengambil berat terhadap orang lain, dan dia membolehkan pelakon lain berlakon dengan selesa.
“Saya sudah lama dalam industri dan Angelina Jolie adalah superstar global, tetapi rasanya seperti kami adalah kawan yang telah mengenali satu sama lain sejak dahulu lagi dan menjalani penggambaran bersama untuk kali pertama setelah sekian lama,” katanya.
Ma Dong Seok turut berkongsi yang Angelina Jolie pernah menonton hasil kerjanya dahulu dan merupakan salah seorang peminat.
Juga ternyata, persahabatan antara mereka berdua begitu akrab apabila Angelina Jolie membuat penampilan mengejut kepada Ma Dong Seok dengan memeluknya dari belakang dalam salah satu temu ramah yang berlangsung.
“Bekerja dengan Ma Dong Seok adalah seperti mimpi. Saya sudah pun meminatinya dari dulu, dan menjalani penggambaran adegan aksi bersama merupakan pengalaman yang sukar dipercayai,” kata Angelina Jolie.
Sumber: [1]