Pondok Telefon Merah Ikonik Di UK Akan Dipertahankan Daripada Dilupuskan

Ribuan pondok telefon berwarna merah yang ikonik di Britian akan dilindungi daripada dihapuskan begitu saja.

pondok telefon merah ikonik di uk akan dipertahankan daripada dilupuskan

Memetik laporan Astro Awani, keputusan tersebut akan berkuat kuasa bawah peraturan baru.

Pondok telefon awam mungkin dilihat sebagai suatu yang tidak lagi diperlukan dalam era konsumer yang memiliki telefon pintar, namun pihak berkuasa komunikasi, Ofcom berkata kewujudan pondok telefon itu masih boleh menjadi ‘talian hayat’ bagi seseorang pada masa-masa tertentu.

Pihak Ofcom turut mencadangkan peraturan bagi menghalang penutupan operasi 5,000 pondok telefon terutama di kawasan yang rendah jaringan telekomunikasi mudah alih.

Tambah mereka, pondok telefon yang berada dalam kawasan yang cenderung berlaku kemalangan atau kes bunuh diri, dan juga telefon yang sudah lebih 52 kali digunakan dalam tempoh 12 bulan lalu juga memenuhi kriteria untuk dipertahankan.

Menurut Ofcom lagi, masih terdapat sekitar 21,000 pondok telefon itu di serata negara dengan hampir 150,000 jumlah panggilan telah dibuat untuk perkhidmatan kecemasan dalam tempoh antara Mei 2019 hingga Mei 2020.

Tidak ketinggalan, lebih kurang 45,000 panggilan lain juga dibuat untuk menghubungi talian bantuan.

“Sebahagian pondok telefon yang kami mahu pertahankan mungkin juga rendah bilangan penggunaan untuk panggilan. Namun, bayangkan jika satu daripada panggilan itu adalah dari kalangan anak yang sedang cemas, mangsa kemalangan, atau seseorang cuba mengakhiri nyawa...talian pondok telefon itu tetap boleh menjadi talian hayat pada waktu yang mendesak.

“Kami juga mahu memastikan bahawa manusia tanpa liputan jaringan telekomunikasi, seperti di luar bandar, masih boleh membuat panggilan,” ujar Pengarah Kesalinghubungan Ofcom, Selina Chadha.

 

Sumber: [1]