Piala Thomas- "Ini barisan terbaik Malaysia" kata Roslin Hashim !

piala thomas: ini barisan terbaik malaysia, kata roslin hashim !

Roslin Hashim akur dengan barisan pemain yang dinamakan ke dalam skuad Piala Thomas yang akan berlangsung di Denmark bulan depan.

Bekas pemain badminton kebangsaan itu berpendapat ini merupakan barisan terbaik pemain yang dimiliki Malaysia buat masa ini.

Perseorangan utama, Lee Zii Jia akan mengetuai cabaran Malaysia pada saingan itu. Turut membarisi kategori perseorangan lelaki ialah pemain berpengalaman, Liew Daren, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao.

Dalam acara beregu lelaki, Malaysia kehilangan khidmat pemenang pingat perak pada Olimpik Rio iaitu Goh V Shem-Tan Wee Kiong. Beregu profesional ini menolak tawaran untuk mewakili negara atas alasan peribadi. V Shem baru sahaja menimang cahaya mata pertamanya manakala Wee Kiong dijangka menimang cahaya mata bulan depan.

Jadi, cabaran beregu lelaki disandarkan pada Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai beregu utama. 2 lagi gandingan yang tersenarai ialah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzudin.

Ok, BAM menyasarkan skuad negara layak ke peringkat separuh akhir. Roslin Hashim berpendapat ianya tidak mustahil untuk direalisasikan. Sebabnya, dia yakin dengan kemampuan beregu lelaki yang berkemungkinan besar akan menurunkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi.

Dalam pada itu, Thailand ambil keputusan tarik diri daripada menyertai saingan Piala Thomas akibat COVID-19, mengikut jejak langkah Australia dan Taiwan. Persekutuan Badminton Dunia, BWF berkata ianya tidak akan menjejaskan apa-apa dan ia tetap akan meneruskan kejohanan tersebut.

Roslin Hashim berpendapat pemain negara perlu kekalkan mentaliti positif biarpun kejohanan berprestij itu mungkin kurang meriah susulan beberapa pasukan yang menarik diri. Ini kerana peluang untuk meraih gelaran juara lebih tinggi jika pasukan besar yang lain turut tarik diri. Namun, bekas pemain nombor 1 dunia itu akui apa yang penting ketika ini ialah keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Oleh : Karami Kamel