Pesakit COVID-19 Di Lahad Datu Cabut Lari Dari Hospital

Seorang pesakit yang disahkan positif COVID-19 bertindak melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

pesakit covid-19 di lahad datu cabut lari dari hospital

Dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu itu, suspek dilaporkan telah menerima rawatan di Jabatan Kecemasan hospital terbabit setelah mengadu demam dan mengalami kehilangan deria rasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad, hasil ujian saringan yang telah dijalankan terhadapnya mendapati bahawa lelaki tersebut sememangnya positif COVID-19.

Namun, dia bagaimanapun dilaporkan menghilangkan diri ketika proses dokumentasi dijalankan.

“Polis menerima laporan daripada pegawai perubatan mengenai kejadian tersebut dan usaha giat dijalankan bagi mengesan suspek berkenaan,” katanya.

Kes kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang boleh hukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” tambahnya.

Dalam pada itu, Rohan turut menambah bahawa pihak polis sedang mengesan lelaki yang dikenali sebagai Firdaus Abdul Halim, 30, itu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil memberi kerjasama dengan membuat laporan.

 

Sumber: [1]