Penonton Luar Negara Tidak Dibenarkan Terbang Ke Jepun Untuk Tonton Olimpik 2021

Susulan COVID-19 yang masih melanda dunia, penonton antarabangsa tidak akan dibenarkan masuk ke Jepun untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung pada Julai dan Ogos masing-masing.

penonton luar negara tidak dibenarkan terbang ke jepun untuk tonton olimpik 2021

Berita tersebut dikongsikan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menerusi satu sidang media yang diadakan pada Sabtu lalu.

Ujar Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach, “Kami berkongsi kekecewaan dengan semua peminat Olimpik yang bersemangat dari seluruh dunia, dan tentu saja keluarga serta rakan atlet yang merancang untuk datang ke temasya tersebut.

“Untuk ini, saya benar-benar minta maaf. Kami tahu bahawa ini adalah pengorbanan yang hebat buat semua orang. Kami telah mengatakan sejak awal pandemik ini bahawa ia memerlukan pengorbanan.”

Lanjut Bach lagi, keputusan tersebut dibuat adalah untuk langkah keselamatan, bertujuan melindungi para peserta dan juga penduduk Jepun.

Tahun lalu, Sukan Olimpik yang sepatutnya diacarakan tuan rumah, Tokyo terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19 dan dijadualkan semula untuk berlangsung bermula 23 Julai tahun ini.

Turut diperkenalkan dalam Sukan Olimpik pada tahun ini ialah lima sukan terbaru iaitu skateboarding, memanjat tembok, meluncur, karate, dan besbol serta sofbol.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa turut memaklumkan bahawa segala tiket yang telah dibeli oleh penonton dari luar negara untuk acara Sukan Olimpik dan Paralimpik menerusi Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 akan menerima bayaran semula.

 

Sumber: [1]