Pengasas Sudoku Meninggal Dunia Selepas Sekian Lama Bertarung Kanser

Pengasas permainan sudoku, Maki Kaji menghembuskan nafas terakhirnya di usia 69 tahun selepas sekian lama bertarung melawan kanser hempedu.

pengasas sudoku meninggal dunia selepas sekian lama bertarung kanser

Memetik laporan The Guardian, Maki Kaji yang juga digelar Godfather of Sudoku dilaporkan meninggalkan jawatannya sebagai Presiden syarikat Nikoli, sebuah syarikat yang menerbitkan pelbagai buku berunsurkan permainan teka-teki logik pada Julai tahun lalu berikutan keadaan kesihatannya semakin tenat.

“Dikenali sebagai Godfather of Sudoku, mendiang disayangi semua penggemar permainan puzzle di seluruh dunia dan kami ingin merakamkan terima kasih kepada semua,” tulis laman web rasminya pada Isnin lalu.

Di usia mudanya, mendiang merupakan seorang pelajar tercicir universiti yang kemudian memulakan kariernya di sebuah percetakan di Jepun, sebelum akhirnya mengasas sebuah majalah puzzle.

Mengambil asas permainan puzzle sedia ada, mendiang kemudian mendapat ilham untuk melakukan pembaharuan dalam permainan tersebut sehingga akhirnya, tercetuslah permainan puzzle angka popular yang kini dikenali ramai sebagai sudoku.

Permainan yang menguji ketangkasan minda itu mula popular di Jepun sejak 1980-an sebelum bertukar menjadi fenomena antarabangsa pada 2005.

 

Sumber: [1]