Sejak disahkan bahawa siri popular Korea, Squid Game akan membuat kemunculan musim keduanya, ramai peminat menjadi tertanya-tanya bila mereka boleh menjangkakan tarikh tayangannya itu.
Pengarah merangkap penulis Squid Game, iaitu Hwang Dong Hyuk akhirnya mendedahkan bahawa dia mempunyai banyak idea untuk musim kedua siri tersebut tetapi peminat mungkin perlu menunggu seketika untuk ia kembali.
September 2021 lalu, Squid Game menjadi popular secara mengejut dengan siri tersebut memecahkan rekod sehingga memperoleh tempat teratas dalam senarai kandungan asal Netflix.
Sejak itu, ramai peminat dari serata dunia mula menuntut musim kedua sehingga akhirnya, permintaan tersebut ditunaikan dan disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Netflix, Ted Sarandos.
Ketika bercakap dengan Comicbook, Hwang mendedahkan bahawa musim kedua siri itu akan menyaksikan lebih banyak permainan hebat, tetapi itu sahaja yang dapat dia sahkan setakat ini kerana dia masih mengumpul idea bagi untuk musim kedua terbabit dan belum memulakan proses penulisan lagi.
Selepas kejayaan Squid Game, Hwang didedahkan pernah mencetuskan idea tersebut pada tahun 2008, tetapi tiada studio produksi di Korea Selatan yang sanggup menghasilkannya pada masa itu.
Selepas sedekad, platform penstriman popular Netflix akhirnya bersetuju untuk mengambil skrip tersebut.
“Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat persembahan yang berjaya, tetapi saya tidak pernah menjangkakan kejayaan sebesar ini. Ia satu kejutan,” kata Hwang.
Sumber: [1]