Penduduk Teruja Dapat Melihat Gunung Himalaya Dengan Jelas Dari Rumah Selepas 30 Tahun

penduduk teruja dapat melihat gunung himalaya dengan jelas dari rumah selepas 30 tahun

Wabak COVID-19 telah membuatkan seluruh manusia terhenti daripada melakukan kegiatan kapitalis. Semua perusahaan terpaksa diberhentikan dan kilang-kilang terpaksa ditutup.

Dari segi ekonomi mungkin akan nampak kesan buruk. Namun, jika kita melihat alam sekitar, banyak keindahan yang dapat kita lihat selepas manusia tidak lagi melakukan aktiviti pencemaran.

Terbaru, pergunungan Himalaya yang terletak di utara India telah dapat dilihat dari jarak 200 kilometer. Perkara ini berlaku buat kali pertama semenjak 30 tahun yang lalu. Penduduk di sana berasa sangat teruja kerana dapat menikmati keindahan alam dari rumah mereka.

"Kami dapat melihat pergunungan yang dilitupi salji dengan jelas dari rumah. Bintang-bintang juga sudah boleh dilihat dengan jelas pada waktu malam.

"Ini kali pertama saya menyaksikan pemandangan seumpama ini, " kata aktivis alam sekitar, Balbir Singh Seechewal.

Populasi di India menghampiri 1.4 bilion. Buat masa ini, India telah melaksanakan perintah berkurung untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Disebabkan oleh itu, banyak perusahaan dan kilang ditutup.

Bukan itu sahaja, Lembaga Pencemaran Pusat India melaporkan bahawa kualiti udara negara itu meningkat setelah perintah berkurung dilaksanakan pada 22 Mac yang lalu.

Sumber: Astro Awani