Majalah Bolasepak Perancis telah keluarkan “dream team” Balon d’Or!
Pasukan ini terdiri daripada bintang bola sepak sepanjang zaman yang sememangnya antara yang terbaik dalam posisi masing-masing.
Wartawan dari 170 negara telah mengundi untuk “dream team” ni jadi jom kita tengok pemain yang tersenarai. Kita mulakan dengan posisi penjaga gol.
Lev Yashin. Diakui penjaga gol terbaik dunia sepanjang zaman, pemain kelahiran Rusia ini dipilih untuk menjaga gawang. Yashin mewakili Soviet Union antara 1954 hingga 1970 dan pernah memenangi Anugerah Balon d’Or pada 1963. Satu-satunya penjaga gol yang berjaya memenangi anugerah tersebut sehingga hari ini.
Menggunakan formasi 3-4-3, barisan pertahanan “dream team” ini akan diketuai oleh legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer. Beckenbauer merupakan antara pertahanan terbaik dunia yang telah memenangi semua kejohanan di peringkat kelab dan antarabangsa. Selain itu, dia juga pernah menerima anugerah Balon d’Or sebanyak 2 kali.
Beckenbauer akan digandingkan dengan pertahanan Brazil, Cafu dan pertahanan Itali, Paolo Maldini. Kedua-dua pemain ini merupakan antara yang terbaik dalam posisi masing-masing ketika berada di kemuncak karier. Malah, Cafu dan Maldini pernah menjadi rakan sepasukan ketika di AC Milan yang menyaksikan mereka pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Seorang lagi legenda Jerman tersenarai dalam pasukan ini di bahagian tengah iaitu Lothar Matthaus. Pemenang anugerah Balon d’Or 1990 ini seperti rakan senegaranya, Beckenbauer telah memenangi semua kejohanan di peringkat kelab dan antarabangsa.
Matthaus akan dibantu oleh bekas perancang utama Barcelona, Xavi. Antara pemain tengah terbaik yang pernah beraksi di era moden, Xavi juga membantu Sepanyol menjuarai Euro 2008 dan 2012 serta Piala Dunia 2010.
Pemain yang akan melengkapkan barisan tengah pasukan ini ialah 2 legenda bola sepak dunia, Pele dan Maradona. Kedua-dua pemain ini sering dibincangkan sebagai pemain terbaik sepanjang zaman. Pele membantu Brazil memenangi Piala Dunia sebanyak 3 kali manakala mendiang Maradona boleh dikatakan secara berseorangan mengheret Argentina untuk menjulang trofi Piala Dunia pada 1986.
Bagi penyerang sayap, kalau ia bukan Cristiano dan Messi, siapa lagi? Messi, pemenang anugerah Balon d’Or paling banyak dalam sejarah iaitu 6 kali, dan Cristiano memenangi anugeragh Balon d’Or sebanyak 5 kali dalam kariernya. Umum ketahui bahawa kedua-dua Cristiano dan Messi ini dianggap 2 pemain terhebat ketika ini. Messi pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara sebanyak 4 kali dan mungkin boleh dianggap Maradona era moden kerana corak permainan yang hampir serupa dengan saiz fizikal yang kecil. Cristiano Ronaldo pula pernah Membantu Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara 3 kali berturut-turut daripada 2016 hingga 2018. Dia juga membantu skuad kebangsaannya menjuarai Liga Negara-Negara pada 2016.
Seorang lagi Ronaldo, atau lebih dikenali sebagai 'The Original Ronaldo' - Ronaldo Nazario mengetuai serangan di posisi No 9. Ronaldo, antara penyerang tulen terbaik yang pernah dilihat dalam sukan bola sepak, adalah sukar dikawal ketika zaman kemuncaknya pada hujung 1990-an dan awal 2000.Juga pernah memenangi anugerah Balon d’Or pada 1997 dan 2002. Kalau Piala Dunia 1986 milik Maradona, edisi 2002 pula jadi milik Ronaldo. R9 juga menjuarai Piala Dunia 1994. Cuba bayangkan, betapa bisanya jika Ronaldo, Messi dan Cristiano berganding bahu ketuai serangan! Kenduri gol lah jawabnya....
Ok, itu dia “dream team” Balon d’Or. Macam mana? Padu ke tak padu? Kalau betul dapat dikumpulkan semua pemain ini ketika kemuncak prestasi mereka, memang siap laa pihak lawan. Ronaldo, Cristiano Ronaldo, Messi, Pele, Maradona. Macam mana nak hadap tu kan?
Oleh: Karami Kamel