Patuh SOP Atau Kembali 'Lockdown'

patuh sop atau kembali

Foto: Berita Harian

Sejak beberapa hari lalu, penularan wabak COVID-19 dalam negara kembali mencatatkan kes harian dua angka selain kewujudan beberapa kluster baru.

Situasi ini dilihat menimbulkan sedikit kegusaran sehingga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengeluarkan perutusan khas hari ini.

Ramai yang berdebar-debar menantikan pengumuman beliau, bimbang kalau-kalau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dikuatkuasakan 9 Jun lalu ditarik semula.

Apa pun, pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini boleh disifatkan seperti nasihat seorang 'Abah' kepada anak-anak demi menjaga kesejahteraan bersama.

patuh sop atau kembali

Foto: Bernama

Beliau sedar, orang ramai pasti tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan 'lockdown' sekiranya kes-kes COVID-19 dalam negara meningkat dengan mendadak.

Malah, Tan Sri Muhyiddin juga tidak mengharapkan Malaysia kembali kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi impak besar terhadap ekonomi.

Ini kerana katanya, penutupan sektor ekonomi menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurang RM2 bilion sehari, selain jutaan pekerja di Malaysia hilang sumber pendapatan.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai meneruskan amalan kebiasaan baru dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajan.

patuh sop atau kembali

Foto: Bernama

Beliau turut ingatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh berdisiplin.

Jika perlu katanya, kerajaan akan menempatkan mereka yang pulang dari luar negara ini di pusat kuarantin untuk mengawal kes import dengan lebih berkesan.

Kerajaan juga sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup mulut dan hidung di tempat-tempat awam dan perinciannya akan diumumkan nanti.

Setakat 12 tengah hari 20 Julai 2020, jumlah kes aktif COVID-19 meningkat kepada 122 apabila 21 kes baru dilaporkan termasuk 15 kes penularan tempatan.

Oleh: Shah Rahimin