Pasangan Kembar Seiras Berusia 107 Tahun Ini Pecah Rekod Kembar Tertua Di Dunia

Dua saudara perempuan yang berasal dari Jepun menerima pengiktirafan Guinness World Records sebagai kembar seiras tertua di dunia.

pasangan kembar seiras berusia 107 tahun ini pecah rekod kembar tertua di dunia

Umeno Sumiyama dan Koume Kodama, masing-masing berusia 107 tahun dan 300 hari, dilahirkan pada 5 November 1913 di Pulau Shodo, barat Jepun.

Mereka merupakan anak ketiga dan keempat dalam keluarga dalam kalangan 11 orang adik-beradik.

Menurut Guinness World Records, saudara kembar itu terpisah ketika kecil dan jarang bertemu sehingga mereka berusia 70 tahun.

pasangan kembar seiras berusia 107 tahun ini pecah rekod kembar tertua di dunia

Kongsi pasangan kembar seiras itu, zaman kanak-kanak mereka sememangnya merupakan fasa yang sukar kerana mereka sering dibuli kerana wajah yang menyerupai antara satu sama lain.

Ketika mereka tamat sekolah rendah, Kodoma dihantar bekerja sebagai pembantu di Pulau Kyushu di barat daya utama Jepun.

Sumiyama kemudian berkahwin dengan seorang penduduk dari Pulau Shodo, sementara Kodama pula menikahi seseorang dari luar kepulauan tersebut.

Saling berjauhan kira-kira 190 batu, mereka bagaimanapun selalu bertemu di majlis perkahwinan dan pengembumian.

pasangan kembar seiras berusia 107 tahun ini pecah rekod kembar tertua di dunia

Tetapi, ketika masing-masing berusia 70 tahun, mereka kembali menjalinkan hubungan rapat kembali.

Pasangan kembar seiras itu kini tinggal di rumah jagaan berasingan.

Kerana pandemik COVID-19, sijil rekod dunia Sumiyama dan Kodama itu dikirimkan ke rumah jagaan mereka.

Menurut Guinness World Records, Sumiyama dilaporkan menangis ketika menerimanya.

Tetapi lain pula reaksi Kodaman yang mana ingatannya yang semakin memudar membuatkan dia tidak begitu memahami kepentingan sijil tersebut.

Menurut keluarga mereka, kedua-duanya sering bergurau yang mereka akan melampaui usia Kin Narita dan Gin Kanie yang merupakan pemegang rekod terdahulu bagi gelaran kembar tertua di dunia pada usia 107 tahun dan 175 hari.

Narita dan Kanie masing-masing meninggal dunia pada tahun 2000 dan 2001, ketika hayat mereka, pasangan kembar dikenali sebagai ‘Kin-san’ dan ‘Gin-san’ itu kerap kali muncul dalam rancangan bual bicara televisyen dan radio sekitar tahun 1990-an kerana sifat mesra mereka yang disenangi ramai.

Jepun mempunyai populasi penuaan terpantas di dunia dengan 28 peratus daripada 125 juta penduduknya berusia 65 tahun ke atas, per Bank Dunia.

Memetik laporan Japan Times, negara tersebut memiliki kira-kira 86,500 penduduk yang berusia 100 tahun dan ke atas atau lebih, dan 88 peratus daripada angka tersebut adalah wanita.

 

Sumber: [1]