Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bakal membuka tirai bermula 24 Ogos ini yang mana seramai lima atlet paralimpik bakal membawa amanat negara bagi menyasarkan sekurang-kurangnya tiga kilauan emas dalam temasya itu.
Kontinjen negara yang dimaksudkan itu adalah Ziyad Zulkifli dan Latif Romly yang mengetuai sasaran tersebut, disokong dengan kemampuan Bonnie Bunyau, S. Suresh dan Chia Lek Hou.
Kelima-lima atlet tersebut merupakan sebahagian daripada kelompok lima terbaik dunia berdasarkan kategori masing-masing dan bakal berentap dalam acara angkat berat, badminton, memanah dan olahraga.
“Barisan atlet yang akan menyertai Paralimpik kali ini adalah antara kelompok lima atlet terbaik dunia dan saya berasakan mereka mampu cemerlang dalam saingan kali ini,” ujar Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.
Sementara itu, kongsi Datuk Seri Megat Shahriman selaku Chef de Mission (CDM) Paralimpik pula, persediaan dari segi kejohanan tambahan sebelum ke Tokyo tidak seligat empat tahun lalu, tetapi berbekalkan program latihan yang ada, ia bukan perkara yang mustahil menurutnya.
“Kami telah pun terlepas beberapa kejohanan sebagai persiapan menghadapi saingan Paralimpik. Bagaimanapun, semua persiapan telah dijalankan seperti biasa,” jelasnya.
Sumber: [1]