Bersempena dengan Hari Kebangsaan Malaysia pada Selasa lalu, Majlis Perbandaran Gaza telah menamakan sebatang jalan di daerah barat bandar itu sebagai Jalan Malaysia.
Perkara tersebut dikongsikan Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran di Twitter menerusi satu catatan Twitter.
Menurutnya, jalan itu terletak di bulatan Ansar, iaitu di sebelah barat Kota Gaza.
Beliau turut menyiarkan gambar pemasangan papan tanda jalan tersebut yang ditulis dalam bahasa Arab dan Inggeris.
Tanda tersebut menyatakan bahawa Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang memperoleh kemerdekaannya dari Britain pada 31 Ogos 1957 dan ibu kotanya adalah Kuala Lumpur.
“Malaysia mempunyai peranan penting dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin. Ia selalu menyeru penghentian penjajahan Israel dan agar memberikan hak semua rakyat Palestin. Ia juga menolak normalisasi terhadap penjajahan Israel,” tulis papan tanda jalan itu.
Sementara itu, Muslim turut berkongsi dengan agensi berita tempatan yang ia adalah kali pertama salah satu tempat utama di Palestin diberi nama Malaysia.
“Ini adalah untuk menghargai solidariti Malaysia dengan Palestin. Rakyat Palestin, khususnya di Gaza, telah melihat sumbangan dan komitmen Malaysia untuk menegakkan perjuangan mereka selama ini,” katanya.
Beliau turut mengatakan yang kedua-dua negara ini telah berkawan selama beberapa dekad dan akan terus membina persahabatan dua hala bersama.
“Keputusan Malaysia untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin dan keputusan Palestin untuk menamakan sebatang jalan di Gaza sebagai Jalan Malaysia, tentu saja adalah satu langkah yang baik dalam menjalin persahabatan ini. Semoga suatu hari nanti rakyat Malaysia dapat mengunjungi Palestin yang merdeka dan bebas, ”tambahnya.
Tahun lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menamakan semula Jalan Raja Laut 1 sebagai Jalan Palestin sebagai lambang sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Sumber: [1]