Pakar Saran Wujudkan Mahkamah Vaksin Bagi Tentukan Punca Kematian

Pakar perunding kanak-kanak dan neonatologi, Datuk Dr Musa Mohd Nordin mencadangkan agar mahkamah vaksin diwujudkan untuk menentukan punca kes kematian individu yang telah menerima vaksin COVID-19.

pakar saran wujudkan mahkamah vaksin bagi tentukan punca kematian

Beliau membuat saranan tersebut selepas melihat keberkesanan mahkamah vaksin yang ditubuhkan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura.

Jelas beliau, ketika ini siasatan lanjut berkenaan kes kematian individu yang sudah divaksin dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya sudah lama mencadangkan supaya KKM mengguna kaedah di Amerika Syarikat atau di Singapura, di mana ada mahkamah vaksin.

“Sebab, sekarang ini KKM yang menentukan. Jadi, nampak sedikit berat sebelah.

“(Sebaliknya) mahkamah vaksin ini akan menentukan sama ada kematian disebabkan oleh vaksin atau komorbiditi iaitu penyakit lain,” katanya.

Tambah beliau lagi, mahkamah vaksin di Amerika Syarikat berjaya mendedahkan 80 peratus kematian mereka yang telah divaksin adalah disebabkan faktor lanjut usia dan tiada kes melibatkan vaksin Pfizer atau Moderna.

“Di Amerika Syarikat, sudah digunakan 300 juta dos mRNA, iaitu Moderna dan Pfizer. 92 peratus daripada kes sampingan adalah ringan seperti, sakit-sakit, lenguh, letih dan pening kepala.

“Ada kematian, tetapi lebih 80 peratus adalah daripada kalangan mereka yang lanjut umur dan tiada satu pun yang berkaitan dengan vaksin Pfizer atau Moderna.

“Hanya di Malaysia adalah masalah ini. Seperti contoh, ada kes meninggal dunia ketika berbasikal tiga hari selepas ambil vaksin, terus dikatakan puncanya adalah vaksin.

“Namun hasil post-mortem menunjukkan mereka ada serangan jantung.

“Jadi, yang baiknya di Amerika Syarikat, ada mahkamah yang menentukan. Sekarang ini, (di Malaysia) semua KKM tentukan. Itu sebab timbul rasa gelisah rakyat tentang kaedah yang dilakukan,” kata beliau.


Sumber: [1]