Pakar Beri Amaran Kes Harian Thailand Berpotensi Cecah 100,000

Susulan subvarian BA.2 Omicron yang merebak pantas di Thailand, pakar virologi negara tersebut, iaitu Dr Yong Poovorawan memberi amaran bahawa kes COVID-19 harian di negara itu berpotensi mencecah 100,000.

pakar beri amaran kes harian thailand berpotensi cecah 100,000

Berdasarkan data pada 5 hingga 11 Februari, 500 kes daripada 1,975 kes jangkitan Omicron atau 18.5 peratus merupakan subvarian BA.2.

Jelas Dr Yong, pakar virologi kanan Universiti Chulalongkorn, secara purata 25,000 kes COVID-19 dilaporkan setiap hari, termasuk mereka yang diuji positif menggunakan kit ujian antigen (ATK).

Data itu menunjukkan kadar jangkitan sebanyak 10 kali ganda berbanding ketika empat gelombang sebelum ini.

“Memandangkan Thailand kini berdepan gelombang kelima, saya berharap kadar jangkitan tidak meningkat kepada enam angka,” katanya.

Lanjutnya, subvarian BA.2 Omicron terus menular dengan purata 15,000 kes dilaporkan di Singapura manakala kes harian baru di Korea Selatan melebihi 100,000 buat pertama kali pada 18 Februari.

“Thailand mungkin menerima nasib sama.

“Pada masa ini, wabak COVID-19 berada pada trend peningkatan Asia… Ia akan mencapai kemuncak sebelum kembali stabil dan bilangan kes baharu perlahan-lahan menurun seperti di Eropah dan Amerika Syarikat,” tambahnya.


Sumber: [1]