Orang ramai yang bakal pulang ke kampung untuk bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina ini dinasihatkan supaya tidak alpa tentang kepentingan memastikan tahap kesihatan mereka, lagi-lagi ketika negara masih berhadapan pandemik COVID-19.
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, orang ramai diingatkan supaya bersikap jujur iaitu dengan melakukan ujian kendiri sekiranya mengalami gejala COVID-19 sebelum memulakan sebarang perjalanan.
Beliau juga menyarankan supaya mereka yang tidak bergejala untuk turut sama berbuat demikian, mengambil kira situasi COVID-19 yang masih menular termasuk gelombang varian Omicron.
“Sekarang ini walaupun kes COVID-19 meningkat tetapi kebanyakannya dalam kategori satu dan dua...apa pun yang penting sebelum balik kampung atau hendak bercuti ke mana-mana, pastikan anda lengkapkan vaksinasi termasuk dos penggalak, pemakaian pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal.
“Selain itu, ujian kendiri juga boleh dilakukan sebelum bergerak ke sesuatu destinasi dan selepas pulang dari tempat berkenaan, terutamanya kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Lanjutnya lagi, mereka yang bergejala seboleh-bolehnya diminta duduk di rumah dan tidak ke mana-mana untuk mengurangkan risiko.
Sumber: [1]