Nikmati Pelbagai Program Istimewa Sepanjang Syawal Ini Di Astro!

Bersempena dengan Syawal kali ini, pelanggan Astro boleh menikmati pelbagai rancangan menghiburkan di kaca televisyen bagi memeriahkan lagi suasana lebaran bersama insan tersayang.

nikmati pelbagai program istimewa sepanjang syawal ini di astro!

Teruja dengan pelbagai kandungan yang dicetuskan Astro khusus untuk Syawal kali ini, Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, “Seperti yang telah dikongsikan sebelum ini, tema ‘Semangat Lebaran Kita’ telah diangkat untuk menerajui Kempen Ramadan Raya Astro 2022 bersesuaian dengan transisi kita ke fasa endemik dan pembukaan semula negara secara selamat, yang membolehkan kita kembali semula kepada rutin yang hampir normal setelah dua tahun berperang dengan pandemik COVID-19.

“Bersesuaian dengan tema tahun ini, Astro bakal menyajikan kandungan yang cukup komprehensif sepanjang musim perayaan. Pengisian Syawal kali ini bakal memeriahkan dengan himpunan rancangan televisyen terhebat merangkumi hiburan variasi ‘Raya Specials’, komedi muzikal, koleksi filem-filem blokbuster tempatan dan antarabangsa, drama bersiri popular, telefilem khas Aidilfitri yang bakal menampilkan nama-nama popular tanah air, karya throwback ‘terbaik’ serta program kanak-kanak dan animasi,” katanya.

Turut tidak ketinggalan, peminat program ‘signature’ juga boleh menikmati program terbaru ‘Mystery Ranking Show Malaysia’ yang diadaptasi dari Korea Selatan dan dihoskan oleh Sherry Al Hadad. Ia  akan mula bersiaran mulai 20 Mei 2022 ini setiap Jumaat jam 9 malam di Astro WARNA.

Selain itu, orang ramai juga boleh mendengarkan pelbagai program istimewa raya di platform radio ERA, SINAR, GEGAR, dan ZAYAR yang bakal menemani pendengar serta membawakan pelbagai kandungan terbaik sepanjang Syawal nanti.

Juga menarik dan yang dinanti-nantikan ramai ialah iklan filem pendek Raya Astro hasil arahan pengarah tersohor, Razaisyam Rashid yang dibintangi salah seorang duta kempen Astro, Nadhir Nasar.

“Buat pertama kalinya iklan Raya kami diolah menjadi sebuah filem pendek berdurasi 20 minit yang berjudul ‘Tujuh Hari Di Bawah Matahari’.

“Filem ini berkisarkan tentang seorang anak muda, yang terkesan dengan penangan pandemik yang kehilangan pekerjaan serta harta benda, dan sarat dengan mesej yang cukup bermakna untuk dijadikan teladan bersama. Gabungan elemen yang dimuatkan dalam Tujuh Hari Di Bawah Matahari, membuatkan plot penceritaan menarik dan kreatif dalam usaha menzahirkan intipati yang ingin disampaikan.

“Kita nantikan tayangannya secara eksklusif di Astro GO menjelang Hari Raya Pertama, 3 Mei pada jam 8.30 malam serta di saluran-saluran televisyen Astro pada 3 Syawal, 5 Mei jam 8.00 malam.”