MyFutureJobs Tawar Lebih 10 Ribu Pekerjaan Dengan Gaji RM5,000 Hingga RM11,000

Sejumlah 11,846 peluang pekerjaan dalam sektor pekerjaan baru direkodkan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 24 Februari 2022 yang menawarkan gaji antara RM5,000 dan RM10,000 ke atas, menurut Kementerian Sumber Manusia.

myfuturejobs tawar lebih 10 ribu pekerjaan dengan gaji rm5,000 hingga rm11,000

Peluang pekerjaan baru itu boleh dirujuk menerusi portal MYFutureJobs yang telah diperkenalkan kerajaan sejak 2020.

“Antara industri atau sektor utama yang dikenal pasti mendapat permintaan tinggi adalah sektor komunikasi dan maklumat, pembuatan, pengangkutan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal serta pendidikan.

“Manakala pekerjaan baru yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan ialah penganalisis data, penganalisis sistem ICT, pembangun antara muka pengguna, saintis data, artitek sistem ICT, pembangun pangkalan data, sistem terbenam, pembangun perisian, jurutera penyelidikan, penganalisis logistik, penganalisis perniagaan ICT, pereka digital media, pembangun permainan digital dan pakar forensik digital,” katanya.

Gaji yang ditawarkan adalah bergantung pada tahap pendidikan, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh pencari kerja, menurut kementerian.

Sehubungan itu, kementerian berkata dari tempoh 1 Januari 2022 hingga 18 Februari 2022, sebanyak 96,661 majikan telah berdaftar dengan MYFutureJobs yang menawarkan 3.88 juta kekosongan jawatan.

“Daripada jumlah tersebut, sehingga kini sebanyak 431,989 kekosongan jawatan aktif masih terbuka.”


Sumber: [1]