Arsenal mulakan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 2 kekalahan berturut-turut. The Gunners tumpas kepada Brentford 0-2 minggu lalu sebelum tewas kepada Chelsea dengan jaringan yang sama. Rata-rata penyokong The Gunners luahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurus, Mikel Arteta yang didakwa gagal membentuk pasukan mantap musim ini.
Kemarahan yang diluahkan penyokong Arsenal ni sebenarnya wajar atau tidak? Kita semua tahu Arsenal merupakan antara pasukan yang disegani pada lewat 90-an dan awal 2000. Ketika itu, Arsene Wenger merupakan pengurus. Antara pemain yang beraksi untuk The Gunners ketika itu ialah Tony Adams, Patrick Vieira, Dennis Bergkamp dan Thierry Henry. Kecuali Tony Adams, kesemua nama yang disebutkan ini memainkan peranan penting untuk bantu Arsenal menjulang trofi EPL pada 2004 tanpa sebarang kekalahan! Pencapaian yang masih belum diulangi oleh mana-mana kelab!
Namun itu 17 tahun yang dulu. Sekarang barisan pemain Arsenal amat jauh berbeza. Terutamanya dalam 2 perlawanan ini, Arteta terpaksa mempertaruhkan rata-rata pemain mudanya. Ini kerana skuad Arsenal dibelenggu kecederaan dan juga mereka yang positif COVID-19. Penyrangnya, Pierre Emerick Aubameyang hanya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika berdepan Chelsea selepas disahkan negatif daripada wabak tersebut.
Buat masa ini, Arsenal miliki 4 pemain yang dijangkiti COVID-19 termasuk Alexandre Lacazette, Willian dan Ben White. Pemain utama yang alami kecederaan pula termasuklah, Eddie Nketiah, Thomas Partey dan pertahanan, Gabriel. Mikel Arteta akui situasi semasa Arsenal tidak begitu baik. Tambahnya, tanpa beberapa pemain utama sudah pasti sukar untuk anak buahnya memberi saingan kepada juara bertahan Liga Juara-Juara, Chelsea.
Namun Arteta tegaskan saingan EPL masih awal dan baru 2 perlawanan berlangsung. Pengurus itu juga optimis pendedahan yang diterima pemain muda Arsenal dalam 2 perlawanan pertama ini mungkin akan memberi manfaat apabila saingan liga masuk ke pertengahannya.
Berhubung desakan segelintir penyokong yang minta Arteta dipecat, mohon bersabar. Orang tua-tua kata buat keputusan waktu marah ni selalunya menyesal kemudian hari. Bersabarlah dengan Arteta sepertimana Liverpool bersabar dengan Klopp dan Manchester United bersabar dengan Solskjaer. Hikmah bersabar ni besar ganjarannya. Ingat tak masa semua meminta Wenger dipecat dengan harapan Arsenal akan kembali hebat? Tak jadi pun kan? Setidaknya Arteta dah dapatkan Piala FA untuk anda. Tengok Solskjaer, tenang je tak bagi piala pada Manchester United.
Seperkara lagi, ada yang minta agar Arteta diganti oleh Antonio Conte. Cuba tanya balik diri korang, korang nak ke jadi pengurus Arsenal sekarang ni? Kemudian letak diri korang di tempat Conte, rasa-rasa Conte nak tak?
Oleh: Karami Kamel