Bintang bola sepak legenda Malaysia, Mokhtar Dahari atau Supermokh diakui badan pentadbir bola sepak dunia, FIFA sebagai penjaring gol ketiga terhebat dalam sejarah bola sepak antarabangsa.
Meraih tempat pertama dalam senarai tersebut ialah Legenda Iran, Ali Daei dan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang berkongsi tangga pertama menerusi jumlah 109 gol yang pernah dijaringkan masing-masing.
Turut berkongsi senarai yang sama ialah pemain bola sepak terkenal dari Argentina, iaitu Lionel Messi yang diangkat sebagai penjaring terbanyak di tangga ke-9 dalam sejarah bola sepak antarabangsa dengan jumlah 75 gol.
Sementara itu, bekas pemain Selangor itu dinobatkan di tempat ketiga selepas Ali Daei dan Cristiano Ronaldo, dengan jumlah 89 gol menerusi 149 perlawanan yang pernah disertainya.
Sepanjang riwayatnya ketika bergelar seorang pemain bola sepak, Allahyarham Mokhtar Dahari pernah mencapai kejayaan bersama pasukan Harimau Malaysia menerusi kemenangan sebanyak dua kali berturut-turut dalam Sukan SEA iaitu pada 1977 dan 1979, selain Pestabola Merdeka sebanyak empat kali (1973, 1974, 1976 dan 1979).
Selain itu, Allahyarham juga pernah memenangi pingat gangsa Sukan Asia pada 1974.
Pengiktirafan oleh FIFA itu sekali gus mengangkat Allahyarham sebagai penjaring antarabangsa tertinggi di Asia Tenggara.
Pada 11 Julai 1991, bintang bola sepak kebanggaan negara itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 37 tahun setelah tiga tahun bergelut dengan penyakit motor neuron.
Sumber: [1]