Legasi Michael Schumacher kembali mekar dalam Formula Satu. Itu perumpamaan yang boleh diberikan apabila Mick Schumacher sah menyertai kejuaraan dunia itu, musim depan.
Anak kepada pemandu legenda Jerman itu yang kini berusia 21 tahun akan memandu untuk pasukan Formula Satu Haas dan akan bergandingan dengan pemandu Rusia, Nikita Mazepin.
Dilahir dan dibesarkan di Switzerland, Mick bukanlah asing dalam sukan permotoran 'single seater' kerana kerjayanya telah pun bermula seawal usia 11 tahun dalam sukan go-kart pada 2008.
Dia bagaimanapun hanya menggunakan nama Mick Schumacher apabila menyertai kejuaraan Formula 4 pada tahun 2014 sebelum beralih ke saingan Formula 3, dua musim kemudian.
Kerjaya Mick terus bersinar apabila dia muncul juara keseluruhan Formula 3 pada 2018 dengan meraih tujuh kemenangan termasuk lima kali berturut-turut pada musim itu.
Pada musim pertamanya dalam kejuaraan Formula 2 tahun lalu, pemandu Akademi Ferrari ini sekadar menduduki tempat ke-12 keseluruhan namun sedang mendahului kejuaraan musim ini, berbaki dua perlumbaan.
Apa pun kita tunggu tahun depan, sama ada Mick Schumacher mampu menghidupkan kembali legasi bapanya yang berjaya muncul juara dunia Formula Satu sebanyak tujuh kali.
Dikhabarkan, Mick akan buat kemunculan sulung dalam Formula Satu pada Grand Prix Abu Dhabi minggu depan bersama pasukan Haas, menggantikan Romain Grosjean yang terbabit kemalangan, baru-baru ini.
Kalau korang nak tengok aksi Mick, saksikan dua perlumbaan pusingan akhir kejuaraan Formula 2 di Bahrain secara langsung Sabtu dan Ahad ini jam 8 malam di Fox Sports saluran ASTRO 815 HD dan 835.
Oleh: Shah Rahimin