Maaf lah kalau kerap sangat cerita Arsenal timbul kebelakangan ini. Kalau tak diceritakan, nanti kata kita tak hormat Arsenal pulak. Satu-satunya pasukan yang melalui musim EPL tanpa kalah dan pasukan yang paling banyak menjuarai Piala FA.
Semua dah tahu yang Arsenal tewas perlawanan ke-3 berturut-turut dalam saingan liga apabila diaibkan Manchester City 0-5. Berdepan juara bertahan dan kehilangan beberapa pemain tonggak, kekalahan mungkin dah dijangka. The Gunners kini berada di kedudukan tercorot liga tanpa sebarang mata selepas 3 perlawanan. Lebih memeritkan, skuad kendalian Mikel Arteta masih belum menjaringkan sebarang gol!
Sebelum ini terdapat laporan mengatakan Arteta diberi 5 perlawanan untuk mengubah nasib Arsenal. Kekalahan kepada City ini merupakan perlawanan kedua daripada 5 perlawanan tersebut. Riak wajah Arteta ketika wisel penamat dibunyikan di Etihad menimbulkan perasaan simpati dalam hati penyokong neutral. Wajah Arteta tidak berekspresi.
Pengurus Arsenal itu akui kekalahan tersebut amat menyakitkan. Dia turut mempersoal beberapa keputusan pengadil terutamanya apabila tidak memberikan kad merah kepada salah seorang pemain Manchester City walaupun dengan bantuan VAR. Ini kerana kelihatan pertahanan The Gunners, Callum Chambers ditumbuk di mukanya sebelum City menjaringkan gol kedua mereka. Arteta berpendapat gol tersebut sepatutnya tidak wajar diberikan dan pemain City yang terlibat perlu diberikan hukuman.
Hari Arsenal bertambah malang apabila pemain tengahnya, Granit Xhaka dilayangkan kad merah kerana terjahan keras ke atas Joao Cancelo pada minit ke-35. Namun Arteta tetap optimis dia mampu bimbing Arsenal kembali bersaing dalam kelompok 6 teratas EPL sebaik kesemua pemainnya pulih daripada kecederaan dan COVID-19.
Penyokong Arsenal pastinya tahu dan sedar tentang projek yang sedang direncanakan Arteta untuk membawa kembali zaman kegemilangan pasukan itu yang dikecapi antara lewat 90-an sehingga pertengahan tahun 2000. Projek tersebut nampak sukar direalisasikan ekoran 3 kekalahan berturut-turut yang dicatat Arsenal. Namun pengurus City, Pep Guardiola yakin Arteta mampu melaksanakannya. Jelas Guardiola, Arsenal akan kembali ke prestasi terbaik apabila kesemua pemainnya kembali cergas. Tambahnya, dia mengenali karakter dan kemampuan Arteta kerana mereka pernah bekerjasama di Manchester City.
Kenyataan Guardiola itu mungkin mampu meredakan sedikit kemarahan dan kekecewaan penyokong Arsenal tapi sampai bila? Sejauh mana pula kesabaran pihak pengurusan Arsenal untuk melihat prestasi pasukan mereka berterusan sebegini? Adakah Arteta akan diberi masa yang cukup untuk melihat projeknya ini membuahkan hasil? Terlalu banyak persoalan yang masih belum ada jawapannya.
Tempoh rehat untuk aksi antarabangsa sedikit sebanyak pasti melegakan Arteta. Mungkin akan ada pemainnya yang akan kembali cergas dan dia juga boleh mempersiapkan pasukannya dengan lebih baik. The Gunners akan berdepan Norwich dan Burnley selepas ini. Kepada penyokong Arsenal teruskanlah bersabar. Ini kerana ganjaran orang yang sabar ini cukup besar. Kalau dah tak tahan sangat dibahan, ungkaplah kata-kata ini, “Unbeaten 49. Kau ada?”
Oleh: Karami Kamel