Manchester City laung amaran awal dalam usaha mempertahankan kejuaraan EPL musim depan. City telah berjaya mendapatkan Jack Grealish dari Aston Villa dengan harga 100 juta pound – rekod perpindahan tertinggi Britain! Grealish juga diberikan jersi nombor 10 yang ditinggalkan Sergio Aguero musim lalu.
Kehadiran Grealish ke City sudah pasti menguatkan jentera serangan skuad kendalian Pep Guardiola. Grealish akan sertai Kevin de Bruyne, Raheem Sterling, Phil Foden, Riyad Mahrez, Ferran Torres dan Gabriel Jesus. Guardiola sebelum ini keluarkan kenyataan tidak akan mendapatkan penyerang kerana kekangan kewangan. Tapi Guardiola masih belum mendapatkan pengganti kepada Sergio Aguero. Buat masa ini, Guardiola hanya miliki Gabriel Jesus sebagai penyerang tulen dalam skuad utamanya.
Menurut laporan, City masih berusaha untuk dapatkan penyerang Tottenham, Harry Kane. Namun, City perlu akur dengan peraturan kewangan yang ditetapkan UEFA. Guardiola mungkin tidak berdepan masalah jika hanya miliki Jesus sebagai penyerang tulen tunggal. Seperti yang telah ditunjukkan sebelum ini, pemain seperti Sterling, de Bruyne dan Riyad Mahrez mampu menggalas tugas untuk menjaringkan gol.
Penambahan Grealish dalam pasukan Manchester City ini sudah cukup untuk memperkuatkan skuad kendalian Guardiola. Bayangkan kalau City berjaya dapatkan Kane ataupun mana-mana penyerang bertaraf dunia yang lain. Rasanya dah boleh dah bagi trofi EPL tu kepada City sebelum musim bermula. Kan?
Oleh: Karami Kamel