Malas Berus Gigi Boleh Sebab Gejala Lebih Teruk Pada Pesakit COVID-19

Satu kajian baru mendapati mereka yang tidak menjaga kesihatan mulut berupaya mengalami gejala yang lebih teruk sekiranya dijangkiti COVID-19.

malas berus gigi boleh sebab gejala lebih teruk pada pesakit covid-19

Memetik laporan Channel News Asia (CNA), berdasarkan kajian tersebut, pesakit COVID-19 yang turut menghidap penyakit gusi adalah 3.5 kali lebih berkemungkinan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) berbanding mereka yang tidak mengalami masalah tersebut.

Selain itu, mereka juga 4.5 kali lebih berkemungkinan perlu dipasang ventilator atau alat bantuan pernafasan dan sembilan kali lebih berisiko untuk mati akibat COVID-19.

Sememangnya, dapatan kajian tersebut agak mengejutkan tetapi sekiranya melihat antara kesihatan mulut dengan penyakit lain, ia tidaklah begitu mengejutkan.

Secara asasnya, ia berlaku apabila kebersihan yang tidak baik dikekalkan untuk jangka masa yang lama yang mana ia berupaya menyebabkan dysbiosis – di mana bakteria dalam mulut berubah daripada keadaan tenang kepada agresif.

Apabila bakteria mulut menjadi lebih teruk, ia kemudian menyebabkan penyakit gusi selain merosakkan tisu mulut dan kemudian memasuki aliran darah.

Bakteria tersebut mampu mengalir ke seluruh badan dan masuk ke pelbagai organ, meningkatkan tahap keradangan yang mana ia kemudian mampu menjadi penyebab kepada pelbagai keadaan lain termasuk situasi kronik.

Beberapa pesakit COVID-19 yang teruk juga boleh mengalami "cytokin storm" yang mana sistem imun menjadi terlalu kuat untuk melawan virus dan membahayakan tisu badan sendiri pada masa yang sama.

Setakat ini, terdapat bukti mencukupi yang mengatakan kebersihan mulut yang buruk menyumbang kepada faktor risiko komplikasi mereka yang dijangkiti COVID-19, lagi-lagi terhadap mereka yang mengalami keadaan seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit kardiovaskular.

Oleh itu, adalah penting untuk anda mengekalkan kebersihan mulut yang betul dengan cara mudah seperti memberus gigi dua kali sehari selama sekurang-kurangnya dua minit dengan ubat gigi yang mengandungi fluorida selain menghadiri perjumpaan berkala bersama doktor.

 

Sumber: [1]