MCMC Tekad Untuk Terus Lindungi Kanak-Kanak Dalam Talian

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertekad untuk terus melindungi kanak-kanak gara-gara golongan tersebut yang semakin terdedah kepada internet.

mcmc tekad untuk terus lindungi kanak-kanak dalam talian

Sehubungan dengan itu, MCMC kini dalam proses meneliti lebih banyak bidang untuk dimasukkan ke dalam modul pendidikan dan kesedaran Perlindungan Dalam Talian Kanak-Kanak (COP).

Jelas Ketua Pengawai Kawal Selia MCMC Zulkarnain Mohd Yasin, “Internet akan kekal bersama kita, begitu juga risikonya. Sekalipun ancaman-ancaman ini terus berubah, teras kewujudannya tetap sama iaitu untuk memudaratkan.

“Namun begitu, sekalipun hasrat kita adalah untuk melindungi, kita harus memastikan langkah-langkah yang diambil tidak mencabul hak kanak-kanak memandangkan teknologi digital menyumbang kepada penganjuran, perlindungan dan penunaian hak kanak-kanak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut menambah bahawa usaha tersebut seharusnya dibahagi-bahagikan antara pelbagai lapisan masyarakat dan tidak seharusnya hanya bersandarkan pada langkah yang diambil kerajaan semata-mata.

Semuanya adalah untuk memastikan keselamatan kanak-kanak ketika mereka sedang asyik melayari internet.

“Ini kerana kita ada pemegang taruh yang mungkin tidak boleh dicapai oleh pihak lain, justeru kerjasama dan perkongsian ini amart penting untuk merapatkan jurang tersebut.

“Pada masa sama, setiap orang harus menyingkirkan salah tanggapan bahawa kerajaan mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan semua masalah, kita masing-masing ada peranan untuk dimainkan dalam memastikan keselamatan anak-anak kita, baik agensi kerajaan, pemain industri, ibu bapa dan pendidik, ahli masyarakat, malah kanak-kanak dan golongan muda itu sendiri,” ujarnya.

 

Sumber: [1]