Lelaki Ternampak Roh Anjing Bermain Dengan Anjing Peliharaannya Sendiri Dalam Rakaman CCTV

Seorang lelaki dari Melbourne, Australia bernama Jake DeMarco terkejut selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan anak anjing peliharaannya, Ryder, bermain dengan ‘anjing hantu’ di halaman rumah mereka.

lelaki ternampak roh anjing bermain dengan anjing peliharaannya sendiri dalam rakaman cctv

Klip berdurasi 31 saat itu telah disiarkan ke YouTube oleh Agensi Berita Caters dan menjadi tular dengan lebih ratusan ribu tontonan setakat ini.

Para pengguna media sosial bagaimanapun enggan mempercayai bahawa anjing itu adalah hantu sehingga meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen.

Dalam klip tersebut, Ryder dilihat mengejar seekor anjing putih lut sinar di halaman belakang rumah Jake.

Kedua-dua ekor anjing itu nampaknya begitu seronok berlari berkejaran mengelilingi kawasan berpagar.

Seketika kemudian, ‘anjing hantu’ itu bagaimanapun tidak lagi kelihatan dan lenyap begitu sahaja.

Kongsi Jake kepada agensi berita tempatan, dia benar-benar terkejut selepas melihat anjing lut sinar itu berada di halaman rumahnya kerana telah meletakkan pagar yang tinggi di halaman rumah tersebut.

Oleh itu, dia berpendapat adalah mustahil untuk seekor anjing melompat melepasi pagar tersebut.

Selepas memerhati rakaman CCTV itu, Jake berlari keluar untuk melihat ‘anjing hantu’ itu tetapi ia telah hilang sebaik sahaja Jake berada di luar.

Ketika video itu menjadi tular, para pengguna media sosial membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi.

Kebanyakan pengguna enggan mempercayai bahawa anjing lut sinar itu sebenarnya adalah anjing hantu, dan mengatakan bahawa ia adalah satu bentuk ‘tipuan’.

“Itu bukan roh anjing, ia adalah anjing sebenar, apabila ia berjalan di atas konkrit, ia adalah sangat jelas bahawa ia adalah nyata. Ia hanyalah seekor anjing putih,” tulis seorang pengguna.

“Saya tidak nampak hantu, hanya dua ekor anjing biasa yang bermain,” bunyi komen lain.

 

Sumber: [1]