Sering kali kita terlihat pelbagai aksi yang tular di media sosial sehingga membuatkan orang ramai berasa tersentuh terhadapnya.
Tidak terkecuali, sebuah video baru-baru ini yang menunjukkan seorang lelaki ‘mencuri’ kotak amal demi membeli telefon bimbit untuk anaknya.
Lelaki tersebut bagaimanapun berjanji untuk memulangkan wang itu ke dalam kotak amal setahun kemudian.
Dalam video yang dimuat naik oleh @/shollataufiq di TikTok itu, dapat dilihat aksi seorang lelaki yang tertangkap di dalam kamera litar tertutup (CCTV) mengambil wang dari kotak amal terbabit sebelum menyimpannya dalam kain sarung.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah masjid sekitar jam 2 pagi yang mana selepas mengambil wang dari kotak amal itu, lelaki tersebut dilihat menunggang motosikalnya keluar dari masjid.
Namun lelaki itu tidak pergi begitu sahaja, dia sempat meninggalkan surat yang menjelaskan mengapa dia berbuat sedemikian serta peringatan supaya tidak meletakkan kotak amal itu di luar masjid.
“Dalam masa setahun saya akan pulangkan wang di dalam kotak ini, pada dasarnya anak saya perlukan telefon bimbit untuk ke sekolah dan sekali lagi saya meminta maaf, saya faham saya tidak bekerja. Sekadar peringatan lain kali supaya kotak itu dibawa masuk,” coret lelaki itu pada sekeping kertas.
Rata-ratanya, ramai warganet menzahirkan rasa kasihan mereka terhadap lelaki tersebut sehingga ada yang menganggap perbuatannya untuk memulangkan wang tersebut setahun kemudian adalah sopan.
Sumber: [1]