Pelakon Korea, Lee Yoo Mi yang membintangi dua drama fenomena berturut-turut iaitu Squid Game dan All of Us Are Dead, mengaku bahawa dia gemar membaca komen yang berunsurkan kebencian terhadap watak yang dilakonkannya.
Menerusi All of Us Are Dead, Lee membawa watak Nayeon yang mementingkan diri sehingga berjaya menimbulkan kemarahan dalam kalangan penonton drama tersebut dari serata dunia.
Bagaimanapun, Lee berkongsi bahawa dia tidak berasa tergugat ketika membaca komen-komen berbaur kebencian yang dilontarkan kepadanya susulan watak antagonis yang dimainkan itu.
“Saya jenis yang, jika saya ingin tahu, akan membaca semua respons dalam satu sesi. Saya tidak terluka dengan membaca komen-komen kebencian. Saya malahan berasa gembira apabila saya dibenci.
“Kerana saya fikir mendapat kebencian bermakna saya melakukan kerja yang baik dalam lakonan dan menggambarkan emosi watak saya,” katanya.
Meskipun begitu, tegas itu, dia tidak bermaksud sebarang niat negatif.
“Mungkin kedengaran jahat bahawa saya berasa gembira, tetapi ada kegembiraan tertentu dalam perasaan saya, seperti saya boleh melihat kembali lakonan saya sendiri dan mencari ketenangan,” tambahnya.
Menariknya, kongsi Lee lagi, kedua-dua drama Squid Game dan All of Us Are Dead sebenarnya menjalani penggambaran pada masa yang sama, namun Squid Game dikeluarkan beberapa bulan terlebih dahulu daripada drama yang satu lagi.
Menggambarkan cabaran menjalani penggambaran dua drama secara serentak, kata Lee, “Kedua-dua drama itu dirakamkan di luar bandar, jadi saya terpaksa berulang-alik. Selain itu, dua watak saya mempunyai personaliti yang berbeza sama sekali. Semasa saya menjalani penggambaran All of Us Are Dead, saya sengaja cuba mengisi lakonan saya dengan intensiti dan emosi, dan ketika saya menjalani penggambaran Squid Game, saya mengosongkan diri sebelum berlakon,” jelasnya.
Lanjut Lee, dia tidak menyangka bahawa kedua-dua drama tersebut akan menjadi hit di serata dunia dan menyifatkan dirinya sebagai bertuah.
“Saya tidak pernah terfikir bahawa mana-mana drama tersebut akan menjadi hit. Saya berasa terharu dengan kegembiraan. Saya sangat bertuah,” luahnya.
Sumber: [1]