Lapan Sampel RT-PCR Termasuk Kes Omicron Pertama Negara Didapati Negatif

Keputusan sampel ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) seorang pengembara yang direkodkan sebagai varian Omicron COVID-19 positif pertama di negara ini adalah negatif.

lapan sampel rt-pcr termasuk kes omicron pertama negara didapati negatif

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Nooh Hisham Abdullah, keputusan itu juga negatif untuk tujuh kontak rapat pengembara tersebut iaitu pemandu, seorang pekerja universiti, tiga pelajar dan dua rakan sebilik.

“Terkini dari Perak. Kesemua lapan sampel RT-PCR hari ini adalah negatif termasuk kes indeks Omicron pertama di negara ini (Afrika Selatan) dan tujuh kes kontak rapat iaitu pemandu, seorang pekerja universiti, tiga pelajar universiti (Dua warga Ghana dan seorang warga India) dan dua rakan sebilik,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini mengesahkan seorang pengembara wanita berusia 19 tahun dijangkiti COVID-19 varian Omicron.

Individu tersebut dikenal pasti sebagai pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak dan mempunyai rekod perjalanan ke Afrika Selatan.

Kata Khairy, individu itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021 dan telah mengambil ujian RT-PCR COVID-19 sebaik tiba di pusat pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Individu itu telah diberi Perintah Penyeliaan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan telah menamatkan tempoh kuarantin selama 10 hari di kediaman yang disediakan universiti, katanya.

 

Sumber: [1]