Isnin lalu, Les’ Copaque Production Sdn Bhd menafikan khabar angin bahawa pasangan watak kartun kembar terkenal yang dicipta mereka, iaitu Upin dan Ipin ‘meninggal dunia’.
Ia susulan selepas tular sebuah rakaman video di TikTok yang memperlihatkan dua kubur tertulis nama ‘Upin dan Ipin’ didakwa ditemukan di Sulawesi Tengah, Indonesia.
Kongsi Penerbit dan Pengarah Urusan, Burhanuddin Md Radzi dalam satu entri di Facebook, beliau terkejut dengan ‘berita sedih’ mengenai pemergian dua kanak-kanak itu.
“Upin Ipin meninggal dunia? Pagi tadi atok tergamam membaca berita dari Jakarta bahawa Upin Ipin meninggal dunia akibat kemalangan ketika mereka sedang bercuti di Sulawesi.
“Bagaimana mereka boleh pergi bercuti sedangkan sesi persekolahan di Malaysia tidak bercuti,” katanya dalam entri itu.
Burhanuddin yang merupakan pengisi suara watak Atok dalam siri animasi popular itu turut menambah bahawa kedua-dua si cilik itu kini sedang berada dalam keadaan sihat dan akan muncul bersama geng rakan-rakan untuk musim baharu.
“Sebenarnya pagi tadi saya yang menghantar mereka ke tadika. Kepada semua (peminat) Upin dan Ipin, jangan risau mereka sentiasa sihat dan akan muncul bersama rakan-rakan di musim baharu.
“Ia akan menjadi lebih menarik dan standard animasi telah banyak bertambah baik. Terima kasih atas keprihatinan anda,” katanya.
Terdahulu, dua kubur yang berada bersebelahan tertera tulisan di batu nisan bahawa Ipin meninggal dunia pada 2 April 1996 mana Upin pula meninggal dunia pada 6 Ogos 1995.
Bagaimanapun, pemilik TikTok abi_Alonk yang memuat naik video tersebut mendakwa rakaman itu diberikan oleh rakannya dari Malaysia.
"Katanya ini berdasarkan kisah daripada nenek di sana yang diungkap (dicerita) ke dalam animasi," tulisnya pada bahagian kapsyen.
Sejak dimuat naik, video tersebut telah ditonton lebih dari 37 juta kali.
Sumber: [1]