Ketika bintang Running Man, iaitu Kim Jong Kook pertama kali melancarkan saluran YouTube peribadinya bernama Gym Jong Kook pada Jun lalu, ia berjaya memperoleh lebih dari 250,000 ‘subscriber’ hanya dalam tempoh 24 jam!
Jumlah tersebut kemudian terus meningkat naik kepada 1 juta pengikut dalam masa seminggu!
Kini, saluran YouTube milik Jong Kook itu mempunyai kira-kira 2.13 juta pengikut setakat 9 September dengan 13 video yang telah merangkul hampir 60 juta tontonan.
Dengan tidak semena-mena, saluran yang memfokuskan pada ‘healthy lifestyle’ itu disenaraikan antara saluran YouTube dengan pendapatan tertinggi oleh Forbes Korea.
Gym Jong Kook kini berada di tangga ke-18 dengan anggaran pendapatan sebanyak 426.4 juta won yang bersamaan dengan RM1.5 juta.
Hujung Julai lalu, Jong Kook pernah berjanji dengan pengikutnya yang dia akan menyumbangkan keuntungan diperoleh daripada lima video dari salurannya atas tujuan kebajikan.
Kongsinya, “Oleh kerana saluran saya memperoleh hasil yang luar biasa hasil bantuan orang ramai, saya rasa ia akan menjadi lebih bermakna sekiranya kesemua perasaan sayang dan minat ini membawa kepada sesuatu yang bermanfaat, agar pengaruh positif turut dapat lagi dirasai mereka yang sukakan bersenam.”
8 September lalu, Jong Kook sekali lagi mendedahkan yang dia telah menyumbang sejumlah 70 juta won (RM248,152) kepada dua buah hospital.
Wang tersebut akan digunakan untuk membantu menampung kos rawatan pesakit yang menghadapi masalah kewangan dan juga pesakit muda yang mengalami masalah jantung.
“Ia memang agak lambat, tetapi setelah dipertimbangkan dengan teliti, saya telah membuat sumbangan yang saya janjikan kepada anda semua kali terakhir. Saya harap sumbangan saya akan digunakan untuk tujuan yang baik.
“Kerana ini adalah sumbangan yang saya buat dengan semua sokongan dan dedikasi anda, ia sangat bermakna.
“Saya harap anda semua mempunyai kehidupan yang sihat! Terima kasih kepada semua pengikut yang telah menjadi sebahagian daripada kebaikan ini!,” katanya.
Sumber: [1]