Kematian Dalam Kalangan Warga Emas Yang Tidak Divaksin Lebih Tinggi Dari Kumpulan Umur Lain

Kadar kematian akibat COVID-19 dalam kalangan warga emas terutamanya mereka yang masih belum melengkapkan vaksinasi atau menerima suntikan penggalak, adalah jauh lebih tinggi berbanding kumpulan umur lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

kematian dalam kalangan warga emas yang tidak divaksin lebih tinggi dari kumpulan umur lain

Berdasarkan data Minggu Epidemiologi (ME) 1/2022 hingga ME 10/2022, kadar kematian mereka yang berumur 80 tahun ke atas adalah 2,000 kes bagi setiap 100,000 orang, berbanding 300 hingga 600 kes dalam kalangan individu berumur 60 hingga 79 tahun.

“Ini disebabkan sistem imun yang lemah, penyakit kronik serta proses pemulihan yang lebih perlahan dan rumit,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata kumpulan warga emas yang tidak divaksin akan mempunyai risiko paling tinggi untuk dijangkiti COVID-19 dan boleh mengakibatkan kematian manakala warga emas yang telah menerima suntikan penggalak mereka adalah yang paling dilindungi.

Beliau berkata, sebanyak 86,804 kes COVID-19 membabitkan warga emas dilaporkan daripada ME 1/2022 hingga ME 10/2022 dengan 83,709 kes atau 96.44 peratus adalah dalam kategori satu dan dua, manakala 3,096 kes atau 3.56 peratus adalah dalam kategori tiga hingga lima.

“Ini menunjukkan peratusan perlindungan vaksinasi yang agak tinggi dalam kalangan warga emas telah membantu mengurangkan kes jangkitan COVID-19 yang serius bagi golongan ini.

“Bagaimanapun, liputan suntikan penggalak untuk warga emas perlu ditingkatkan lagi daripada 74.2 peratus untuk melindungi kumpulan itu dengan lebih baik daripada kesan jangkitan teruk,” katanya.


Sumber: [1]