Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mendedahkan bahawa negeri tersebut dijangka akan merekodkan kes COVID-19 sebanyak tiga angka selama empat minggu berturut-turut berdasarkan situasi semasa yang kini dihadapi Kelantan.
Menurut Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin, negeri tersebut telah merekodkan antara 400 hingga 500 kes positif COVID-19 setiap hari sejak hampir dua minggu lalu.
Situasi tersebut dilihat terus berlanjutan biarpun kerajaan telah mengambil tindakan dengan menutup bazar Ramadan dan sekolah selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hingga 17 Mei ini.
Ujar Datuk Dr Zaini, “Ini usaha kita setakat ini. Kita juga berdepan dengan kes dalam komuniti.
“Jadi saya jangkakan kes akan berterusan tiga angka untuk 28 hari, atau dua minggu akan datang ini, bergantung kepada bagaimana masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.”
Tambahnya lagi, jumlah harian individu yang menjalani ujian di pusat saringan di Kota Bharu dikatakan mencecah antara 700 hingga 800 dalam sehari.
Dalam pada itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) yang terletak di Dewan Jubli Perak negeri tersebut.
Hasil data laporan yang diperoleh, difahamkan terdapat pertambahan kes yang berlaku dalam komuniti. Perkara tersebut sekali gus menandakan bahawa COVID-19 sudah berada dalam masyarakat dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja.
Sumber: [1]