Kelajuan Internet 319 Terabait Sesaat, Jepun Pecah Rekod Dunia!

Sekumpulan penyelidik di Institut Teknologi Maklumat dan Komunikasi Jepun (NICT) berjaya memecahkan rekod dunia bagi kelajuan pemindahan data menerusi internet.

kelajuan internet 319 terabait sesaat, jepun pecah rekod dunia!

Dalam ujian tersebut, pasukan NICT berjaya mencapai kelajuan 319 terabait sesaat, sekali gus menggandakan rekod yang dicetuskan pada 2020 iaitu 178TB/s yang dikecapi menerusi gandingan jurutera Jepun dan Britain.

Dalam percubaan kali ini, pasukan NICT menggunakan teknologi kabel optik canggih yang mempunyai empat teras penggulungan dengan ukuran kecil yang mana pada kebiasaannya, kabel optik standard hanya mempunyai satu belitan teras untuk menghantar data.

“Dengan kabel optik pelbagai teras ini, sambungan internet dapat menjadi lebih cepat. Sementara itu, dari segi penyelenggaraan, kabel terbaru yang kami gunakan juga stabil berbanding kabel optik yang kini digunakan serata dunia,” terang NICT.

Sebagai tambahan, mereka juga berjaya menghantar data pada jarak 3,001 kilometer. Sebagai hasil, kelajuan dan isyarat sepanjang pemindahan data yang dilakukan mereka tidak pernah menurun.

Menurut pasukan NICT lagi, kelajuan tersebut sebenarnya dapat ditingkatkan lagi dengan beberapa eksperimen tambahan.

Bagaimanapun, yang menjadi cabaran buat mereka adalah kabel data jenis baru yang digunakan pasukan tersebut sangat mahal untuk pengeluaran besar-besaran.

Di samping itu, teknologi ini juga lebih sesuai untuk keperluan mengirim maklumat data ukuran terabait ke kawasan yang jauh, dan bukannya mempercepat proses memuat turun data permainan yang dibeli seseorang dalam talian.

Namun, mereka juga turut menekankan bahawa potensi penggunaan kabel multi-teras yang dicipta NICT mungkin berguna pada masa akan datang, termasuk untuk infrastruktur kabel dasar laut.

“Dengan kabel ini, kami yakin sistem penghantaran data akan dapat berkembang dengan lebih cepat, melebihi apa yang telah dicapai oleh teknologi 5G,” tambah NICT.

 

Sumber: [1]