Kanak-Kanak Perlu Segera Divaksin Bagi Elak Penyakit MIS-C

Kanak-kanak bawah 18 tahun yang dijangkiti COVID-19 boleh mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

kanak-kanak perlu segera divaksin bagi elak penyakit mis-c

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19 dengan mereka yang berusia bawah setahun melibatkan 24 kes, 1 hingga bawah 5 tahun (38 kes), 5 hingga bawah 9 tahun (64 kes), 9 hingga bawah 12 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

“Sehingga kini, tujuh kes (4 peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan COVID-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-COVID (sindrom COVID-19 selepas fasa akut jangkitan),” katanya.

Tambah beliau, kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi mengalami jangkitan COVID-19 serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid, kanser, asma dan obesiti.

Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19, beliau berkata antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.

“Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun ini adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid. Kanak-kanak golongan umur 5 hingga 11 tahun perlu diberi dua dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama,” ujarnya.


Sumber: [1]