Kampung Latah Kena Kuarantin Cecah Kutipan Lebih RM1 Juta!

Sejak ditayangkan di Astro First pada 9 September lalu, filem Kampung Latah Kena Kuarantin berjaya mendapat sambutan memberangsangkan dengan kutipan melepasi RM1 juta!

kampung latah kena kuarantin cecah kutipan lebih rm1 juta!

Rata-rata penonton yang berkongsi reaksi di media sosial menyatakan mereka terhibura dan tidak henti bergelak tawa gara-gara adegan serta jalan cerita filem Kampung Latah Kena Kuarantin.

“Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada FINAS dan ASTRO di atas peluang yang diberikan menerusi dana Program TV/OTT. Kami juga ingin ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah melanggan filem Kampung Latah Kena Kuarantin di Astro First. Kejayaan ini mendorong semangat buat kami untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih konten yang variasi serta berkualiti.

“Kami juga berasa gembira apabila segelintir penonton merasakan filem ini mampu membuatkan mereka menghilangkan tekanan seketika dengan berhibur dengan babak dan aksi yang ditonjolkan oleh barisan pelakon.

kampung latah kena kuarantin cecah kutipan lebih rm1 juta!

"Buat mereka yang masih belum berkesempatan untuk menonton filem ini, saya ingin mengajak mereka untuk menyaksikan karya ini bersama seisi keluarga, di samping itu dapat meluangkan masa bersama insan tersayang.”

Filem terbitan produksi MEGAPINE (M) tersebut menyaksikan filem tempatan pertama yang mengetengahkan gelagat melatah sebagai subjek kepada latar cerita serta menghimpunkan nama-nama selebriti cukup terkenal dengan latah spontannya dan lebih menarik ia tidak pernah disaksikan dalam mana-mana filem sebelum ini.

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang KAMPUNG LATAH PERMAI, sebuah kampung yang unik dan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana ia satu-satunya lokasi di dunia yang mempunyai kadar penduduk ‘melatah’ yang ramai. Ajin (Azhan Rani) merupakan ketua pemandu pelancong untuk syarikat Latah Permai Travel & Tours, bersama rakan kongsinya, Jamilah (Nazia Mustafar), Eton (Ieda Moin) dan Din (PS Mansur). Gelagat mereka sering menceriakan penduduk kampung dan juga pelancong. Dalam pada itu, Ajin menaruh perasaan terhadap Juanita (Elisya Sandha). Tetapi Apoi (Joey Daud) telah dahulu menghantar rombongan meminang Juanita dengan mengikut adat resam dan budaya melayu, namun pinangan Apoi ditolak.

kampung latah kena kuarantin cecah kutipan lebih rm1 juta!

Apoi bersama konconya Abon (Bell Ngasri) dan Anjang (Wanns Ahmad) melakukan sesuatu kerana tidak berpuas hati. Selang beberapa hari kemudian, Kampung Latah Permai yang ceria, tiba-tiba dilanda sindrom melatah yang tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai kes merbahaya seperti melatah sehingga koma, melatah sehingga meninggal serta melatah sehingga terbunuh rakan atau pasangan. Keadaan kampung semakin membimbangkan dan menjadi isu besar sehingga Ketua Kampung terpaksa membuat mesyuarat tergempar bersama penduduk bagi mencari jalan penyelasaian. Berbagai teori dan cara menangani pandemik latah telah dibuat sehingga ada yang logik dan ada yang karut.

Saksikan Kampung Latah Kena Kuarantin menerusi Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 9 September 2021.

Untuk melanggan, orang ramai boleh ke saluran 480 atau strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, korang boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang kali.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.